Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) telah menghantar permohonan rasmi untuk membida hak sebagai tuan rumah saingan peringkat kumpulan AFC Cup 2021 (Zon ASEAN).

Pertandingan itu akan berlangsung secara karnival di satu venue yang terpilih pada tahun ini susulan penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat di beberapa negara.

Ia akan jadi musim kedua dijalankan dalam format tersebut setelah AFC berjaya menganjurkan saingan ACL di Doha, Qatar yang membabitkan 26 pasukan dari zon timur dan barat pada tahun lepas.

Tuan rumah yang terpilih akan dinilaikan berdasarkan kemampuan mereka memenuhi keperluan logistik seperti penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR), stadium, penginapan serta infrastruktur perubatan.

Dua wakil negara, Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Terengganu FC (TFC) kemungkinan akan beraksi di Singapura kerana mereka turut diundi dalam satu kumpulan dengan kelab dari negara itu.

Berdasarkan undian, KDA FC diundi dalam Kumpulan H bersama kelab Liga Premier Singapura, Lion City Sailors dan wakil Vietnam, Saigon FC. Satu lagi lawan mereka akan diisi oleh pemenang ‘play-off’.

Manakala Terengganu FC pula diundi dalam Kumpulan I bersama naib juara Liga Filipina, Kaya FC-Iloilo serta satu lagi pasukan dari Singapura, Geylang International. Bagaimanapun, wakil dari Myanmar akan ditentukan kemudian sama ada Shan United atau Ayeyawady United.

Saingan peringkat kumpulan AFC Cup 2021 dijadualkan berlangsung pada 14 Mei hingga 20 Mei 2021 (Zon Selatan & Timur), 23 Mei hingga 29 Mei 2021 (Zon Barat) serta 22 Jun hingga 28 Jun 2021 (Zon ASEAN).

Setiap pasukan dari zon ASEAN akan bermain dalam 3 perlawanan diikuti separuh akhir zon ASEAN pada 10 atau 11 Ogos dan seterusnya perlawanan akhir zon ASEAN pada 25 Ogos 2021.

Juara ASEAN akan kemudian akan menentang juara dari zon selatan, tengah dan timur di peringkat separuh akhir ‘Inter-Zonal’ pada bulan September 2021. Perlawanan akhir akan diadakan pada 26 November 2021.

Baca artikel lain mengenai saingan peringkat Asia melalui pautan dibawah. 

Format Karnival Jadi Pilihan Anjur Saingan AFC Champions League Dan AFC Cup 2021

Ini Mekanisme Undian Saingan AFC Champions League 2021 Yang Penyokong JDT Wajib Ambil Tahu

Mekanisme Undian Saingan AFC Cup 2021 Yang Perlu ‘Dihadam’ Peminat Kedah Dan Terengganu

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group