Awan mendung di kem Kelab Bola Sepak Respek (Respect FC) kelihatan akan berlalu pergi selepas pasukan yang kini beraksi dalam saingan Liga M3 2022  itu akan dikendalikan oleh pengurusan baharu.

Sinar cerah bakal menjelma apabila syarikat konglomerat berpengkalan di London, Kumpulan SRAM & MRAM akan mengambil alih Soccer Empire Sdn Bhd yang merupakan pemilik Respect FC.

Ditubuhkan pada tahun 1995, Kumpulan SRAM & MRAM yang turut menerokai pasaran di India, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Bahrain dan Georgia itu menjalankan perniagaan berasaskan produk agro, teknologi maklumat serta perkhidmatan hospitaliti.

Perkembangan terkini itu disahkan dalam satu sidang media yang dihadiri oleh Penaung Respect FC, Datuk Seri S. K Devamany, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SRAM & MRAM, Dr Hemalata Arumugam serta Pengarah Pentadbiran Global, Nigel Jones.

Kesediaan Kumpulan SRAM & MRAM untuk tampil mengambil alih pentadbiran syarikat tersebut nyata hadir tepat pada masanya selepas pemain serta pegawai Respect FC dikhabarkan sudah hampir enam bulan tidak menerima gaji.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian besar pemain memilih untuk mencari pasukan lain serta terdapat pegawai pasukan juga mengangkat kaki mencari peluang pekerjaan baharu.

Namun, masih ada yang setia untuk kekal bertahan sehingga ke akhirnya dalam membawa cabaran pasukan tersebut meneruskan aksi dalam saingan liga walaupun terpaksa menghadapi pelbagai kekangan.

Datuk Seri S.K Devamany bersama Dr Hemalata dan R. Surendren.

“Pemilik baharu ini merupakan sebuah syarikat berdaya saing serta dilihat mampu untuk memberikan sumbangan yang cukup besar bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga antarabangsa.”

“Paling menarik, pihak pengurusan juga telah bersetuju untuk berkongsi saham syarikat dengan para pemain. Bagi saya, perkara ini merupakan sesuatu yang baharu dalam kancah bola sepak tanah air,” ujar S.K Devamany bercakap kepada wartawan di Stadium Perak, semalam.

Devamany turut mendedahkan pelan jangka pendek melibatkan pemilik baharu itu sudah pastinya mahu melunaskan segala tunggakan gaji serta komitmen lain dalam tempoh terdekat ini.

Selain itu, CEO Respect FC, R. Surendren melihat perkembangan terkini proses pengambilalihan itu merupakan berita baik buat para pemain kelab tersebut.

“Perkembangan ini adalah pengkhabaran positif untuk mereka [pemain] dan memohon maaf kerana ia mengambil masa untuk menyelesaikan isu kewangan ini.”

“RFC terpaksa melepaskan pemain kepada pasukan lain ketika jendela perpindahan Mei lalu untuk kelangsungan hidup pemain selain mengelakkan bebenan hutang.”

“Malah, kita juga harapkan dengan adanya suntikan dana daripada pemilik baharu ini, ia sedikit sebanyak mampu mengubah nasib pasukan sekali gus memberikan semangat kepada para pemain,” tambah bekas pemain skuad kebangsaan itu.