Satu kejadian mengejutkan telah berlaku di Ghana apabila beberapa kepala manusia dan bahagian anggota badan yang lain telah ditemui dalam peti sejuk di rumah bekas pemain bola sepak Ghana, Richard Gyamfi.

Ia telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk di negara itu dan membuatkan orang ramai tertanya-tanya adakah lelaki itu kanibal atau terlibat dalam pembunuhan untuk melakukan ritual agama.

Susulan penemuan menggemparkan tersebut, Gyamfi yang juga merupakan pengulas bola sepak telah ditahan oleh pihak polis pada hari Ahad lepas di rumahnya dekat kawasan Perbandaran Sunyani.

Rahsia itu terbongkar selepas seorang bapa, Thomas Agyei datang ke rumah Gyamfi untuk mencari anak lelakinya, Louis Agyemang Junior yang telah hilang. Bagaimanapun, Gyamfi menafikan beliau mempunyai kaitan dengan kehilangan remaja itu walaupun terdapat saksi yang melihat Louis telah memasuki rumahnya.

Bagi mendapatkan kepastian, Agyei ditemani rakannya telah memecah masuk ke rumah Gyamfi dan terus menggeledah ruang di dalam rumah itu sebelum menemukan bilik dengan pintu berkunci.

Agyei mendesak Gyamfi membukanya namun lelaki itu enggan berbuat demikian dengan alasan kunci pintu bilik itu telah hilang. Tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut, Agyei dan rakannya terus menendang pintu bilik berkenaan sebelum menjumpai mayat anaknya tanpa kepala di lantai.

Polis mendapati terdapat juga beberapa anggota badan kanak-kanak telah dipotong dan di dalam peti sejuk yang sama. Identiti mangsa lain belum didedahkan.

“Semua mayat telah dipindahkan ke Hospital Perkhidmatan Polis Ghana di Accra untuk bedah siasat sebelum kami melakukan tindakan yang seterusnya. Suspek kini dalam tahanan reman.

“Semua keluarga mangsa, penduduk setempat dan pegawai polis terbabit dalam kes itu akan dirujuk ke pakar psikiatri bagi mendapatkan sokongan,” kata Pengarah Hal Ehwal Awam Perkhidmatan Polis Ghana, Alexander Kwaku Obeng.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak dunia melalui pautan dibawah.

Usaha Selamatkan Eriksen, Simon Kjaer Terima Anugerah Presiden UEFA

Bidaan Kedua €180 Juta Untuk Mbappe, PSG Tuduh Real Main Pintu Belakang

RASMI: Kane Tak Jadi Sertai City Dan Fokus Untuk Memenangi Trofi Di Spurs