Rentetan kekalahan skuad kebangsaan Indonesia dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 nyata sukar untuk diterima oleh ramai pihak khususnya peminat setia pasukan dimana rata-rata daripada mereka mendesak ketua jurulatih, Simon McMenemy untuk meletakkan jawatan.

Desakan untuk Simon melepaskan jawatan sudah didengari apabila Indonesia tewas pada perlawanan pertama menentang Malaysia dengan keputusan 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno. Desakan tersebut semakin kuat didengari apabila skuad Garuda mengutip dua lagi kekalahan iaitu kepada Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Simon McMenemy
Simon McMenemy memberi arahan kepada pemainnya. FOTO: PSSI

Salah seorang Exco Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Refrizal mencadangkan agar Simon meletakkan jawatan kerana menganggap skuad kebangsaan Indonesia tidak menampilkan sebarang peningkatan sejak dibimbing oleh pengendali dari Scotland itu.

“Saya fikir dia perlu melepaskan jawatannya daripada mengendalikan pasukan agar tidak ada beban yang ditanggungnya selepas ini. Saya sebenarnya sudah menasihatkan agar Simon meletak jawatan selepas kita kalah kepada Thailand,” katanya.

Tambah Refrizal, Simon lebih baik membimbing kelab daripada membimbing pasukan kebangsaan dimana sebelum ini pengendali itu pernah memenangi saingan Liga 1 Indonesia musim 2017 bersama Bhayangkara FC.

Refrizal
Refrizal. FOTO: MUHAMMAD ROBBANI/BOLASPORT.COM

“Dia lebih bagus ketika membimbing kelab. Saat menjadi jurulatih pasukan kebangsaan, beliau sedikit bergelut dan pasukan gagal menampilkan persembahan terbaik.

“Kita lihat saja perlawanan menentang Vietnam esok. Jika Indonesia menang, maka kita akan melihat bagaimana nasib Simon McMenemy seterusnya,” tambahnya.

Jika Indonesia mengalami kekalahan keempat pada perlawanan esok, maka peluang mereka untuk mara ke pusingan ketiga sudah tertutup rapat. Bahkan, usaha untuk mendapatkan slot tempat kedua terbaik juga sukar kerana setakat ini mereka belum mempunyai sebarang mata.

Selain itu, Simon mungkin dipecat sekiranya Indonesia tewas kepada pasukan Vietnam pada perlawanan yang diadakan di Bali itu.

Baca artikel lain mengenai Simon McMenemy di sini:

Dibelasah UAE, Exco PSSI Desak Simon McMenemy Letak Jawatan

Simon McMenemy Panggil 25 Pemain Bagi Hadapi UAE Dan Vietnam

Bekas Ketua Jurulatih T-Team Jadi Pilihan Ganti Simon McMenemy