Penjaga gol muda negara, Sikh Izhan Nazrel telah berangkat ke Sepanyol bagi menjalani latihan percubaan bersama sebuah kelab di sana iaitu CF Fuenlabrada.

Perkara ini dikongsikan oleh Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) menerusi laman media sosial rasmi Twitter mereka dimana graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu bertolak ke Sepanyol pada 19 November pukul 8 malam waktu Malaysia.

Sikh Izhan akan menjalani tempoh latihan percubaan bersama Fuenlabrada selama seminggu iaitu bermula pada 20 hingga 27 November ini.

Setelah meninggalkan AMD pada tahun 2020 lalu, Sikh Izhan menyertai Selangor dan beliau sering beraksi bersama skuad pembangunan dalam saingan Liga Premier.

Musim ini apabila Karsten Neitzel dilantik sebagai ketua jurulatih, penjaga gol berusia 19 tahun itu diberi peluang apabila diturunkan dalam kesebelasan utama dalam beberapa perlawanan Liga Super.

Bersama Selangor, Sikh Izhan dilihat menjadi calon utama untuk menggantikan Khairul Azhan sebagai penjaga gol nombor satu skuad Gergasi Merah itu ekoran mempunyai ketinggian yang ideal serta mempunyai pengalaman luas beraksi di pelbagai kejohanan di peringkat akar umbi ketika beraksi bersama NFDP dan AMD.

Sikh Izhan Nazrel
Barisan pemain skuad B-22 tahun negara ketika kelayakan AFC B-23 Tahun

Penjaga gol kelahiran Seberang Jaya, Pulau Pinang ini iuga menjadi sebahagian daripada skuad B-22 Tahun negara yang berjaya layak ke saingan AFC B-23 Tahun yang akan diadakan di Uzbekistan pada 2022 nanti.

Namun, beliau hanya memanaskan bangku simpanan dalam tiga aksi menentang Laos, Mongolia dan Thailand kerana ketua jurulatih, Brad Maloney lebih memilih untuk menurunkan penjaga gol Perak, Azri Abdul Ghani dalam kesebelasan utama.

Apa yang penting, Sikh Izhan Nazrel menampilkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh latihan percubaan bagi menarik staf kejurulatihan dan pengurusan CF Fuenlabrada untuk terus memberikan peluang kepada beliau dan mungkin mendapat kontrak profesional bersama kelab tersebut.

Peluang sebegini jarang berlaku kepada pemain negara dan Sikh Izhan perlu memanfaatkan peluang yang dimiliki dengan sebaik mungkin.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Video ‘Pitch Invasion’ Penyokong Kuala Lumpur City Selepas Kalahkan Selangor Bakal Mengundang Padah

Piala Malaysia 2021: Arif Aiman ‘Hancurkan’ Harapan Kedah, Bawa JDT Ke Separuh Akhir

8 Pemain Yang Wajar Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Harimau Malaya