Penjaga gol muda negara, Sikh Izhan Nazrel dikhabarkan menangguhkan sesi ujian bersama kelab divisyen dua Sepanyol, CF Fuenlabrada kerana mahu memberi fokus untuk membantu skuad B-20 tahun menghadapi saingan kelayakan AFC B-23 yang akan berlangsung pada Oktober ini.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Sikh Izhan akan menjalani ujian bersama Fuenlabrada selama seminggu selepas tugasan bersama skuad B-20 tahun tamat.

Sikh merupakan salah seorang penjaga gol muda yang dilabel mempunyai masa depan cerah untuk terus menyinar selepas beliau sebelum ini pernah membarisi skuad kebangsaan bawah 16 tahun (B-16), B-18 dan B-19.

Menyertai Selangor 2 pada tahun lalu dari Akademi Mokhtar Dahari, anak kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang ini menikmati empat penampilan bersama skuad pembangunan itu pada musim pertamanya.

Sesuatu yang lebih menarik dapat disaksikan pada musim ini apabila Sikh Izhan menjadi sandaran utama pengendali pasukan, Micheal Feichtenbeiner dengan meletakkannya sebagai penjaga gol utama pasukan tersebut.

Sikh Izhan berupaya mencatatkan enam ‘clean sheets’ daripada 12 perlawanan Liga Premier yang dihadapinya pada musim 2021.

Malah, beliau turut diberikan peluang beraksi bersama skuad utama Selangor pada pertemuan Liga Super Malaysia 2021 bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, malam tadi yang menyaksikan Selangor berjaya mencatatkan kemenangan dengan keputusan 4-2.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Sikh Izhan Bakal Diuji Kelab Liga Divisyen 2 Sepanyol?

TRW Kelantan FC Dedahkan Berjaya Jana Lebih RM500,000 Dari Hasil Jualan Dan Barangan Rasmi Kelab

Liridon Krasniqi Semakin Hampir Sertai Kelab India, Odisha FC