Peminat bola sepak tanah air mungkin berpeluang untuk melihat seorang lagi pemain muda negara berkelana ke Eropah selepas penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dikhabarkan bakal menjalani sesi percubaan di Sepanyol.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, penjaga gol berusia 19 tahun itu telah menarik minat kelab Segunda Division [LaLiga 2 Smartbank], CF Fuenlabrada untuk mengujinya selama seminggu.

Bagaimanapun selepas tinjauan dibuat, masih belum ada lagi pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak terlibat sehingga ke hari ini berhubung perkara tersebut.

Sekiranya ia menjadi kenyataan, percubaan di Sepanyol ini seharusnya digunakan sepenuhnya oleh Sikh Izhan untuk memanfaatkan peluang dalam ‘menjual’ bakatnya ke luar negara khususnya.

Sikh merupakan salah seorang daripada penjaga gol muda yang dilabel mempunyai masa depan cerah untuk terus menyinar selepas beliau sebelum ini pernah membarisi skuad kebangsaan bawah 16 tahun (B-16), B-18 dan B-19.

Menyertai Selangor 2 pada tahun lalu dari Akademi Mokhtar Dahari, anak kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang ini menikmati empat penampilan bersama skuad pembangunan itu pada musim pertamanya.

Sesuatu yang lebih menarik dapat disaksikan pada musim ini apabila Sikh Izhan menjadi sandaran utama pengendali pasukan, Micheal Feichtenbeiner dengan meletakkannya sebagai penjaga gol utama pasukan tersebut.

Sikh Izhan berupaya mencatatkan enam ‘clean sheets’ daripada 12 perlawanan Liga Premier yang dihadapinya pada musim 2021.

Malah, beliau turut diberikan peluang beraksi bersama skuad utama Selangor pada pertemuan Liga Super Malaysia 2021 bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, malam tadi yang menyaksikan skuad Gergasi Merah itu berjaya mencatatkan kemenangan 4-2.

Teruskan membaca artikel-artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

EPL: Sang Lebah Sengat Arsenal Pada Hari Pembukaan Dan Debut EPL Selepas 74 Tahun

Luqman Hakim Dan Wan Kuzri Bakal Sertai Kem Latihan Pusat Skuad B-20

Pengadil Dari Malaysia, Suhaimi Mat Hassan Bakal Bertugas Di Piala Dunia Bola Sepak Pantai 2021