Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan Badan Siasatan Bebas telah bersidang buat kali pertama untuk melakukan bedah siasat laporan prestasi pasukan kebangsaan di Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, bulan lalu.

Antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat sulung badan bebas itu ialah terma rujukan badan itu dalam mengumpul dapatan dan menilai laporan prestasi pasukan yang disediakan oleh barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan.

Pasukan bedah siasat ini dianggotai individu-individu di luar FAM untuk memastikan hasil siasatan lebih yang lebih adil dan telus. Paling menarik, ia turut dianggotai oleh bekas pemain kebangsaan, Shukor Adan.

Selain Shukor, ahli-ahli lain yang menyertai badan bebas berkenaan terdiri daripada bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Dato’ Alex Soosay, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, bekas Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Mohd Isa, bekas instruktur kejurulatihan AFC, Ganasegaran Suberamaniam dan Pengarah Teknikal FAM yang baharu, Scott O’Donell.

Pada 7 Januari lalu, Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah mengumumkan pelantikan Datuk Dell Akbar, bekas pemain kebangsaan yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur sebagai Pengerusi Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya.

Hasil bedah siasat daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya ini seterusnya akan dibentangkan oleh Datuk Dell Akbar bersama langkah-langkah penambah baikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan.

Pada kempen Piala Suzuki AFF 2020 bulan lalu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe berjaya mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas baki dua perlawanan Kumpulan B selepas itu kepada Vietnam 3-0 dan Indonesia 4-1, sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Syahrian Abimanyu Kembali Ke Liga Indonesia Sarung Jersi Persija Jakarta

Liga Belum Pun Bermula, Melaka United Kini Berdepan Masalah Tunggakan Gaji

Penyerang Berbisa Dari Serie A Bakal Sertai JDT?