Pemain tengah skuad kebangsaan Jepun, Shinji Kagawa memulakan pengembaraan bersama kelab barunya, Real Zaragoza dengan langkah kanan apabila menjaringkan gol pada perlawanan pembukaan Segunda Division ketika Zaragoza bertemu pasukan Ponferradina.

Kagawa meninggalkan kelab Jerman, Borussia Dortmund dan memutuskan untuk menyertai Zaragoza yang beraksi di divisyen 2 liga Sepanyol musim ini melakukan satu rembatan padu dari luar kotak penalti sekaligus memberikan satu mata untuk kelab barunya selepas perlawanan tamat dengan keputusan 1-1.

Menurut laporan Kyodo News, Kagawa berkata: Gol tersebut adalah satu gol yang cantik. Saya berasa lega. Saya menyasarkan untuk lebih banyak mencipta peluang bagi rakan sepasukan menjaringkan gol. Jaringan pada hari ini (semalam) memberikan saya semangat dan saya perlu mengekalkan momentum.

Zaragoza hampir meraih tiga mata penuh namun Pablo Valcarce menjaringkan gol penyamaan untuk Ponferradina pada minit ke-85.

Shinji Kagawa merupakan salah seorang pemain terbaik Jepun yang pernah beraksi bersama beberapa kelab ternama Eropah selain daripada Borussia Dortmund. Pemain berusia 30 tahun itu pernah beraksi bersama kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United selama dua musim dari 2012 hingga 2014.

Bekas pemain Cerezo Osaka itu juga pernah bermain di saingan Liga Turki dimana beliau menyarung jersi Beşiktaş musim lalu.

Artikel lain berkaitan pemain Jepun.

Daichi Kamada: Bintang Meningkat Naik Jepun Dalam Saingan Bundesliga

Pesanan Hidetoshi Nakata Buat Penyokong Jepun Di Stadium Larkin Pada November 1997