Ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong yakin anak buahnya akan bangkit pada perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF 2020 menentang Thailand di Stadium Nasional Singapura malam esok.

Walaupun dibelasah 0-4 pada aksi pertama 29 Disember lalu namun para pemain skuad Garuda masih belum berputus asa dan mereka tekad memadamkan defisit jaringan itu dalam tempoh 90 minit perlawanan.

“Saya percaya perlawanan esok kita akan menang. Memang para pemain Indonesia banyak tegang pada perlawanan pertama. Mereka kurang pengalaman, sebab itu dapat keputusan seperti kelmarin.

“Perlawanan esok, Thailand tetap lawan yang sukar. Tetapi fikiran saya dan pemain ialah mendapatkan kemenangan,” kata Shin Tae-yong dalam sidang media semalam.

Indonesia memerlukan 5 gol tanpa bolos untuk dinobatkan sebagai juara Piala AFF buat kali pertama dalam sejarah. Ketika keputusan terikat 4-4 secara aggregat, perlawanan akan diheretkan ke masa tambahan dan seterusnya sepakan penalti.

Bagaimanapun, Shin Tae-yong mengakui tidak boleh memaksa anak buahnya untuk menjaringkan gol yang banyak tetapi mereka sasar untuk mencatat kemenangan.

“Tak boleh pastikan kami menang besar untuk perlawanan kedua, saya akan berusaha untuk mendapatkan hasil yang baik dan saya percaya dengan kemampuan pemain,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Undian Kelayakan Piala Asia 2023 Akan Berlangsung Pada Februari 2022

Jurulatih Singapura Letak Jawatan Selepas Gagal Bawa Pasukan Ke Final Piala Suzuki AFF 2020

Kerajaan Sulawesi Selatan Tawarkan 1 Unit Rumah Kepada Asnawi Dan Irfan Jaya Jika Muncul Juara Piala AFF 2020