Ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae Yong tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa apabila pasukannya gagal mara ke final Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 selepas tewas 0-2 kepada Vietnam semalam.

Dua gol daripada Nguyen Tien Linh telah meranapkan impian mereka untuk menamatkan kemarau kejuaraan Piala AFF sejak tahun 1996. Skuad Garuda hanya bergelar naib juara sebanyak 6 kali dan sehingga kini tiada mana-mana jurulatih yang berjaya membawa pasukan itu julang trofi pertama.

Bercakap kepada media selepas tamat perlawanan, Shin Tae Yong mengakui keadaan rumput yang buruk di Stadium My Dinh merupakan salah satu faktor yang menyebabkan mereka gagal bermain dengan baik sehingga tewas mudah kepada Vietnam.

Menurutnya, corak permainan Indonesia pada separuh akhir kedua sangat berbeza berbanding aksi pertama di Stadium Gelora Bung Karno dimana mereka bermain di atas padang yang lebih baik.

“Pada separuh masa pertama, kami bermain dengan begitu bagus dengan keadaan rumput yang bagus di Stadium Gelora Bung Karno.

“Sebagai tambahan, kami tak mampu menyesuaikan diri dengan keadaan padang di Stadium My Dinh. Kami pernah bermain di My Dinh dalam Sukan SEA 2021 tetapi keadaan padang ketika itu lebih bagus.

“Vietnam sering beraksi di stadium ini sementara kami masih lagi asing. Pada gol pertama, penjaga gol Nadeo membuat keputusan yang salah [akibat lantunan bola yang mengelirukan],” jelas Shin Tae Yong dipetik dalam CNN Indonesia.

Pada aksi semalam, Indonesia cuba bangkit mencari jaringan penyamaan namun mereka kelihatan sukar untuk menembusi benteng pertahanan Vietnam yang beraksi dengan cukup berdisiplin ditambah pula dengan kecekapan penjaga gol, Dang Van Lam.

Perlawanan ini juga berlangsung agak tegang dengan beberapa keputusan meragukan dibuat oleh pengadil utama sekaligus menimbulkan pergaduhan antara pemain.

Tien Linh sekali lagi membuktikan ketajaman penyudah apabila menanduk masuk gol kedua yang mudah menewaskan penjaga gol Indonesia, Nadeo Argawinata.

Beliau merupakan penjaring terbanyak Piala AFF 2022 dan berkongsi 5 gol setakat ini bersama penyerang berpengalaman Thailand, Teerasil Dangda.