Bekas pengendali skuad Piala Dunia Korea Selatan, Shin Tae-yong mengakui sangat kecewa dengan sikap Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang sudah mula menyimpang jauh daripada visi dan misi sebenar.

Beliau menyifatkan PSSI hanya mahukan kejayaan segera dan tidak boleh bersabar dengan pembangunan akar umbi yang telah dirancang secara berperingkat untuk membentuk pasukan yang berkualiti.

Malah, PSSI turut meletakkan sasaran yang terlalu tinggi dan tidak realistik sehingga membuatkan Tae-yong sudah tidak tahan lagi dengan sikap pengurusan tertinggi badan induk itu.

“Semua perancangan yang kami sudah susun di awal hari pertama tidak lagi sama. Saya sudah tidak tahan lagi.

“Kami perlu layak ke suku akhir AFC B-19 di Uzbekistan, dan juara Piala AFF. Sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 tahun depan, mereka juga mahu kami bawa Indonesia ke suku akhir.

“Kemudian saya bertanya, anda tahukah Indonesia sekarang berada di ranking berapa? 173 dunia, kata pegawai tertinggi PSSI,” ujar Tae-yong.

Indra Sjafri dan Shin Tae-yong. (Foto: PSSI.org).

Indra Sjafri dan Shin Tae-yong. (Foto: PSSI.org).

Beliau yang dilantik sebagai ketua jurulatih Indonesia pada bulan disember lepas dengan kontrak selama 4 tahun turut mempersoalkan tindakan PSSI memanggilnya balik untuk mengadakan latihan ketika kes wabak pandemik COVID-19 belum menunjukkan tanda pengurangan.

Oleh sebab itu, Tae-yong merancang untuk mengadakan kem latihan skuad Garuda bawah 19 tahun (B-19) di Korea Selatan sebagai persiapan menghadapi kejohanan AFC B-19 kerana situasi di Indonesia masih belum selamat dan membahayakan kesihatan pemain serta jurulatih.

“Di Indonesia, ada 1000 orang didapati positif virus corona sehari, tetapi PSSI meminta kami untuk kembali dan mulakan sesi latihan di Indonesia,” kata Shin Tae-yong dalam wawancara khas bersama media Korea Selatan, JoongAng Ilbo.

“Saya fikir kami mampu meningkatkan skill dan prestasi kalau menentang pasukan yang kuat dalam perlawanan persahabatan. Korea Selatan mara ke separuh akhir Piala Dunia 2002 kerana banyak menentang pasukan kuat.

“Sekarang di Indonesia dengan penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat, agak sukar untuk mencari pasukan yang kuat. Jika kami berlatih di negara lain, tahap fizikal akan meningkat dengan pemakanan yang betul serta program latihan dan perlawanan persahabatan selama 6 minggu,” tambahnya.

Shin Tae-yong dalam seleksi Timnas Indonesia U-19. (Foto: PSSI).

Shin Tae-yong dalam seleksi Timnas Indonesia U-19. (Foto: PSSI).

Bagaimanapun, kekecewaan itu tidak mematahkan semangat Tae-yong untuk memajukan bola sepak Indonesia. Beliau hanya mahukan kerjasama dan sokongan daripada semua pihak kerana jurulatih bukan ahli silap mata yang boleh mengubah segalanya.

“Jika saya membuat program untuk pasukan kebangsaan, saya mahu mereka bekerjasama. Jurulatih bukan ahli silap mata, semuanya ada proses yang perlu dilalui,” jelas Tae-Yong.

Shin Tae-yong kini masih berada di Korea Selatan dan dijangka pulang ke Indonesia pada bulan Julai 2020 bergantung pada situasi semasa wabak pandemik COVID-19.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Stadium Ras Abu Aboud Ini Dibina Menggunakan Konsep Kontena, Mirip Gaya ‘Food Court’ Hipster Di Malaysia

Pengendali Police Tero Mahu Kekal Di Thai League 1 Berbanding Layak Ke ACL

Media Thailand ‘Bersiul’ Kaitkan Diogo Dengan Perpindahan Ke BG Pathum United, Gaji RM548k Sebulan?

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group