Kegagalan menyempurnakan peluang terhidang jelas sedikit mengecewakan pengendali Indonesia, Shin Tae-yong yang menyaksikan skuad kendaliannya mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Thailand, petang semalam.

Indonesia gagal mengambil kesempatan terhidang serta beraksi dengan kelebihan seorang pemain sekali gus menghalang mereka untuk melakar kemenangan ketiga berturut-turut dalam kempen Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Kegagalan Witan Sulaeman menyempurnakan peluang keemasan ketika pintu gol sudah pun terbuka luas pada minit ke-39 juga pastinya menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat.

Malah berdasarkan peluang yang dimiliki, ketua jurulatih kelahiran Korea Selatan tersebut melihat Indonesia seharusnya berhak mencatatkan kemenangan pada aksi di Stadium Utama Gelora Bung Karno itu.

“Memang semua orang memerhati, bolehkah kami mendapat peluang sebanyak itu ketika menentang Thailand,” ujar Shin Tae-yong menurut laporan Goal Indonesia.

Kredit Foto: Changsuek

“Jadi, maksudnya saya akan perbaikinya apabila kami mendapat peluang untuk menjaringkan gol. Tetapi sebelum itu [pada awal permainan], kami tidak mendapat peluang, jadi ia sangat malang.”

“Kami sepatutnya memenangi perlawanan ini, tetapi kami tidak mampu melakukannya. Pada masa akan datang, saya akan menunjukkan bahawa kami akan terus mencatatkan kemenangan.”

“Seperti yang anda dapat saksikan, ini adalah sempurna. Kami hampir untuk mencatatkan kemenangan pada perlawanan ini. Malah, hati saya sendiri mahu segera bermain di atas padang.”

“Tetapi, akhirnya kami mencatatkan keputusan seri. Dan pemain juga telah bekerja keras. Mereka bermain dengan cukup maksimum.”

“Tetapi kami masih belum lagi bertuah,” tambah Shin Tae-yong lagi.