Ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong mahu pemainnya untuk tidak berpuasa bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Burundi pada 25 dan 28 Mac ini.

Tae-yong menegaskan beliau mahu pemain mengekalkan tahap kecergasan sepanjang jendela FIFA dan jurulatih dari Korea Selatan itu akan bertemu dengan pemimpin agama negara tersebut dan juga pemain bagi membincangkan perkara ini.

“Puasa memang agak sukar buat saya kerana pemain perlu makan pada waktu tertentu bagi mengekalkan kecergasan mereka. Jika tidak makan dan harus lari dan beraksi, maka itu agar sukar bagi pemain.

Shin Tae-yong Indonesia
Kredit Foto: Changsuek

“Jadi saya harus berbincang dahulu dengan pemimpin agama dan pemain bagi membincangkan perkara ini supaya mereka boleh memberikan sepenuh fokus terhadap dua perlawanan yang akan dihadapi.

“Mungkin ada hari yang pemain tidak perlu puasa dan pemain boleh mengganti puasa yang ditinggal selepas bulan ramadhan. Kita akan membicarakan perkara ini dengan lebih lanjut,” kata Tae-yong.

Indonesia terpaksa mengadakan dua perlawanan menentang lawan sama selepas mereka mengalami kesukaran untuk mencari pasukan lawan pada jendela FIFA kali ini.

Menjelang perlawanan menentang Burundi, Shin Tae-yong mengakui beliau tidak begitu arif dengan pasukan lawan tetapi beliau mahu pemain Indonesia untuk memberikan prestasi terbaik sebagai langkah untuk meraih mata dan memperbaiki ranking.

“Jujur saya katakan, saya tidak tahu mengenai pasukan lawan, sama ada dari segi pemain atau taktikal. Saya minta untuk berdepan dengan pasukan yang menduduki ranking 80 hingga 100. Tetapi keadaan tidak mengizinkan. Jadi kita terpaksa terima lawan kita Burundi.

Burundi ketika ini menduduki tangga ke-141 dalam rangking FIFA, hanya dibezakan dengan 10 ranking berbanding Indonesia.