Ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong optimis dengan peluang anak buahnya untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Indonesia mempamerkan aksi bertenaga pada perlawanan pertama di Jakarta tempoh hari, namun penyudah kurang berkesan dan kecemerlangan penjaga gol, Dang Van Lam menggagalkan usaha mereka untuk mendapatkan jaringan.

Susulan dengan itu, pengendali dari Korea Selatan tersebut sudah mempersiapkan pasukannya dengan lebih baik untuk merealisasikan impian untuk layak ke final buat kali ketujuh.

Namun, seperti diketahui ia nyata bukanlah tugasan mudah buat barisan pemain Indonesia kerana Stadium My Dinh merupakan gelanggang yang cukup kebal buat juara dua kali itu.

“Semoga kami dapat menjelmakan hasil terbaik pada perlawanan esok [malam ini],” ujar Shin Tae-yong menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).

“Kami datang untuk mencatatkan kemenangan. Para pemain pada ketika ini berada dalam keadaan terbaik untuk melakukannya serta yakin diri dan bersiap sedia untuk menghadapi Vietnam.”

“Vietnam memang sebuah pasukan yang sangat baik dalam organisasi permainan. Sudah pasti esok akan menjadi satu perlawanan yang cukup menarik.”

“Kami akan bekerja keras, fokus dan berdisiplin untuk menghadapinya bagi mencatatkan kemenangan,” tambah beliau lagi.

Sejak kehadiran Shin Tae-yong yang diumumkan sebagai ketua jurulatih Indonesia pada penghujung tahun 2019, beliau kelihatan banyak memberikan peluang kepada pemain muda untuk membarisi skuadnya.

Satu keadaan yang mengubah corak permainan serta mentaliti para pemain Indonesia untuk tampil dengan lebih garang dalam satu-satu perlawanan dihadapi.

Keadaan itu nyata membuahkan hasil apabila Indonesia berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala AFF 2020 namun tewas ditangan Thailand.

Sumber