Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh atau dikenali sebagai ‘Shebby Singh’ berpendapat sudah tiba masanya pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe merombak formasi 4-3-3 kepada 3-4-3 bagi menghadapi saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura pada bulan Disember ini.

Menurutnya, formasi 3-4-3 lebih sesuai digunakan kerana ia dapat membantu mengukuhkan benteng pertahanan yang mudah bocor setiap kali menentang pasukan kuat. Formasi ini membolehkan dua pemain sayap turun ke bawah membentuk 5 pemain pertahanan.

Shebby memberikan pendapat tersebut berdasarkan prestasi skuad Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan antarabangsa ketika tewas 0-4 kepada Jordan dan 1-5 kepada Uzbekistan pada minggu lepas.

“Kita mempunyai masalah besar di bek tengah kerana memang tiada persefahaman dan keserasian di antara kapten pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Muhammad Irfan Zakaria. Kita pun pernah lihat Adam Nor Azlim serta Shahrul Mohd Saad sebelum ini, jadi saya berharap dapat melihat Dion-Johan Cools beraksi di Singapura nanti,” katanya seperti dipetik dalam bernama.

FOTO: FAM

Selain Dion, Serbegeth berkata dua lagi pemain Rodney Celvin Akwensivie dan D Kenny Pallraj berpotensi untuk mengisi kelompongan benteng pertahanan negara.

Katanya, Matthew Davies pula sebagai pertahanan kanan dan La’Vere Lawrence Corbin-Ong untuk posisi pertahanan kiri, dengan kedua-dua pemain boleh bertindak sebagai pemain sayap manakala gandingan Baddrol Bakhtiar dan Muhammad Akhram Mahinan di bahagian tengah Harimau Malaya.

Melengkapkan senarai akhir barisan utama skuad bayangannya adalah kombinasi jentera serangan iaitu Muhammad Safawi Rasid di sebelah kanan dan Mohamad Faisal Abdul Halim di sebelah kiri manakala Luqman Hakim Shamsudin yang bermain untuk kelab Belgium, KV Kortrijk, bertindak sebagai penggempur utama negara. – Bernama

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Peminat Gesa Tan Cheng Hoe Panggil Daniel Ting Perkuatkan Skuad Harimau Malaya

Piala Suzuki AFF: Harimau Malaya Jumpa Vietnam Lagi

Beri Peluang Kepada Luqman Hakim Barisi Jentera Serangan Harimau Malaya

Tawaran TMJ Uruskan Skuad Harimau Malaya Ditolak