Sejak mendapat kepercayaan ketua jurulatih untuk membarisi kesebelasan utama, pemain tengah Terengganu FC, Sharin Sapien kini memasang impian baru dimana beliau berharap dapat memikat pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe sekaligus beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Ketika Terengganu berada di bawah bimbingan Irfa Bakti, Sharin atau yang lebih mesra dengan panggilan Potek seringkali dipinggirkan dimana beliau diarahkan untuk beraksi bersama pasukan Terengganu FC II dalam saingan Liga Perdana. Namun, setelah Nafuzi Zain dilantik sebagai pengendali pasukan, Sharin kembali dipanggil bagi menyertai skuad TFC sekaligus kembali beraksi dalam kesebelasan utama.

Sharin Sapien
Sharin ketika menjalani latihan bersama Terengganu FC
Sumber Gambar: Terengganu FC

Sharin berkata: “Masa itu, mungkin jurulatih Irfan mempunyai perancangannya, cuma saya sentiasa bersedia untuk diturunkan dalam kesebelasan utama. Dia (Nafuzi) banyak berikan motivasi dan nasihat untuk menyahut cabarannya. Apabila dia beri main, saya perlu tunjuk yang saya boleh bersaing dengan pemain-pemain lain,” katanya menurut laporan Stadium Astro.

Pemain berusia 25 tahun ini turut meletakkan penanda aras dalam usaha untuk menarik perhatian Tan Cheng Hoe dimana beliau mahu membantu TFC mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini. Musim lalu, Sharin Sapien membantu TFC II menjulang Piala Cabaran setelah menewaskan pasukan UKM FC.

Sharin Sapien
Aksi Sharin ketika perlawanan antara Terengganu menentang PKNS FC.
Sumber Gambar: TFC

“Tugas saya sebagai pemain tengah amat ringkas. Saya tidak perlu memegang bola terlalu lama. Seperti Sanjar (Shaakhmedov), saya hanya perlu segera melakukan hantaran,” kata pemain yang memulakan karier profesional bersama T-Team pada 2012.

Posisi tengah pasukan negara ketika ini diisi oleh Akram Mahinan, Nor Azam Azih dan Syamer Kutty Abba. Kehadiran Sharin bakal memberikan lebih ramai pilihan pemain untuk Tan Cheng Hoe dan perkara tersebut bakal memberikan kelebihan untuk beliau.