Penjaga gol berpengalaman, Sharbinee Allawee tidak menyangka mampu tampil dengan prestasi cemerlang dengan pasukan Sarawak United memandangkan hanya sempat menyertai dengan pasukan itu selama seminggu sebelum sepak mula Liga Premier 2021.

Musim lepas, beliau beraksi dengan pasukan Sri Pahang dalam saingan Liga Super namun ekoran prestasi buruknya, kontraknya bersama skuad Tok Gajah tidak dilanjutkan sehingga terfikir untuk menggantung but selepas tidak menerima sebarang tawaran.

Bagaimanapun, rezeki masih berpihak kepadanya apabila pengendali Sarawak United, E. Elavaran menghubunginya untuk menyertai pasukan itu.

“Kalau diikutkan, saya rasa gembira dengan keserasian yang terpamer sesama kami biarpun pasukan ini sebenarnya lebih separuh terdiri pemain-pemain baharu.

“Saya sendiri di saat-saat akhir masuk ke Sarawak United setelah dipelawa daripada jurulatih (E. Elavarasan), kalau diikutkan saya ada fikir hendak bersara ekoran tiada tawaran yang datang selepas keluar dari Pahang.

“Namun mungkin pengalaman yang ada pada sebahagian besar pemain dalam pasukan menjadikan kami cepat memahami cara permainan masing-masing dan ini sudah terbukti sejak perlawanan pertama lagi,” katanya kepada MFL.

Beliau yang kini berusia 35 tahun merupakan bekas penjaga gol kebangsaan pada tahun 2009 hingga 2011 serta pernah beraksi di Sukan SEA Laos, banyak menghabiskan kariernya di Terengganu iaitu kira-kira 10 tahun selain Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

Rekod Sharbinee di Sarawak United musim ini cukup menakjubkan apabila hanya dibolosi satu sahaja gol dalam enam perlawanan, paling terendah antara 23 pasukan buat masa ini.

Malah, Sharbinee berjaya mempertahankan gawang Sarawak United tidak bolos sepanjang tempoh 450 minit (5 perlawanan) sebelum pemain Skuad Projek FAM-MSN, Azhad Harraz Arman, menjadi pemain pertama menewaskannya melalui sepakan penalti pada minit 57.

Walaupun di Liga Premier, Sharbinee tetap gembira dengan rekod dipamerkan di benteng yang menjadi salah satu kunci kekuatan Sarawak United untuk bergelar pendahulu, dua mata mengatasi Johor Darul Ta’zim II dan Negeri Sembilan FC.

“Prestasi yang saya pamerkan di Sarawak United, bukan atas saya seorang sahaja tetapi adalah kerjasama rakan sepasukan, bukan sahaja mereka yang bermain di bahagian pertahanan tetapi semua pemain,” kata penjaga gol Sarawak United FC, Sharbinee Allawee Ramli.

Perlawanan terutamanya membabitkan Kuching City FC, Terengganu FC II dan Kelantan FC memperlihatkan Sharbinee muncul antara watak penting kemenangan pasukan apabila banyak menyelamatkan percubaan berbahaya lawan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Nenad Bacina Kembali Bergabung Dengan Bojan Hodak Dalam Skuad Kuala Lumpur

Pusat Latihan PDRM FC Kini Dilengkapi Bilik Persalinan Pemain Dan Pejabat Pentadbiran

Kurniawan Gembira Sabah Curi Satu Mata Penting Bertemu Penang

Kerteh FC Berjaya Jual 350 ‘Joyah’ Dalam 5 Hari, Jana Pendapatan 4 Angka Dari Produk SME Tempatan