Bekas pemain tengah skuad kebangsaan, Shakir Saari kini mempunyai tugasan baharu bersama Johor Darul Ta’zim apabila beliau menyertai staf kejurulatihan kelab tersebut bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini disahkan oleh JDT sendiri menerusi satu pengumuman di laman media sosial rasmi pasukan, Johor Southern Tigers pada semalam dimana Shakir dilihat telah memulakan tugas beliau.

“Pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Shakir Saari telah menyertai barisan kejurulatihan skuad senior menjelang kempen 2020 dalam usaha untuk memastikan terdapat perkembangan kerjaya bagi pemain senior yang telah berkhidmat di kelab.

“Shakir Saari, yang telah menjalani kursus kejurulatihan sewaktu beliau masih sebagai pemain, menyertai Harimau Selatan pada tahun 2014. Beliau mengetuai JDT II pada 2018 dan 2019 kerana kelab mahukan pengalaman berharga beliau dapat dikongsikan dan membantu membimbing pemain-pemain muda.

“Shakir telah menjulang 10 piala bersama JDT – empat kejuaraan Liga Super Malaysia, dua Piala Sumbangsih, Piala AFC 2015, Piala FA 2016, Piala Malaysia 2017 dan Challenge Cup 2019,” kata JDT.

Shakir Saari
Sumber Gambar: JST

Juara Liga Super musim 2019 itu telah memulakan sesi latihan bagi mengharungi perlawanan pra musim sebagai persediaan untuk saingan musim 2020 pada Khamis lalu.

Kelibat pemain utama dapat dilihat dalam sesi latihan pertama seperti Diogo Luis Santo, Gonzalo Cabrera serta Natxo Insa. Turut kelihatan bekas pemain Kedah dan Melaka United, Liridon Krasniqi.

Baca artikel lain mengenai pasukan Johor Darul Ta’zim di sini:

Aaron Niguez Kembali Perkuatkan Johor Darul Ta’zim

Liridon Krasniqi Dilihat Sedang Menjalani Latihan Bersama Pasukan JDT, Sedia Beraksi Untuk Harimau Malaya 2020?