Penggunaan format separuh liga yang akan diguna pakai sebaik saingan bermula September merupakan satu kesempatan buat Perak FA bagi mencabar kejuaraan CIMB Liga Super musim ini.

Ketua pasukan Perak, Shahrul Saad, optimis skuad The Boss Gaurus mampu memberi cabaran sengit kepada pendahulu iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas mereka kini hanya ketinggalan dua mata untuk berada di tangga kedua liga.

Tambahnya,format baharu ini dengan berbaki tujuh perlawanan untuk dilalui nyata satu kesempatan terbaik buat Perak menamatkan penantian kejuaraan kali pertama CIMB Liga Super sejak diperkenalkan pada tahun 2004.

Shahrul Saad
Shahrul Saad

“Melalui format satu pusingan ini, saya rasa boleh jadi satu peluang kepada kami dalam cuba dapatkan sesuatu pada saingan Liga Super.

“Cuma tiada ruang untuk terlepas sebarang mata memandangkan tidak banyak perlawanan yang tinggal selain mengharapkan kami kena pastikan rentak yang sama mampu diteruskan seperti di awal musim.

“Namun apa yang akan menjadi kuncinya nanti ialah sejauh mana cepat pasukan boleh mendapatkan kecergasan selepas berehat panjang beberapa bulan, perkara ini juga jadi sedikit kebimbangan.

“Apa-apapun sama ada CIMB Liga Super atau TM Piala Malaysia, matlamat utama kami ialah mahu mendapatkan tiket ke pertandingan ACL dan Piala AFC selain memburu sebarang kejuaraan,” katanya.

Shahrul Saad
Sumber Gambar: mStar

Sebelum ini, Malaysian Football League (MFL) merancang meneruskan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier pada 1-2 September 2020 dan akan berakhir pada 26-27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga sahaja manakala TM Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober 2020 hingga 7 November sementara Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.

Bagaimanapun perancangan itu masih tertakluk kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) apabila MFL akan mengemukakan permohonanan semula pada Jun ini.

Perak bermula cemerlang pada empat perlawanan awal CIMB Liga Super apabila belum merekodkan sebarang kekalahan menerusi dua kemenangan dan dua keputusan seri

Dalam masa sama, Shahrul menganggap usaha MFL untuk meneruskan saingan Liga Malaysia sebenarnya sebagai satu usaha terpuji serta berita yang cukup melegakan kepada semua penggiat bola sepak.

Tiga
Sumber Gambar: AFF Suzuki Cup

Tambahnya, satu keperluan mustahak liga dapat disambung kembali buat pemain dan pegawai agar punca rezeki mereka tidak terjejas.

“Memang cukup menggembirakan saya dan rakan sepasukan yang lain sebaik dapat tahu liga kita tidak dibatalkan.

“Sekurangnya-kurangnya kami pemain masih boleh menerima gaji sehingga penghujung musim ini.

“Saya akui ini merupakan satu keputusan sukar buat MFL tetapi kita harapkan Liga Malaysia boleh bersambung pada September nanti,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Mehmet Durakovic Kesunyian Di Ipoh Tanpa Bola Sepak Dan Keluarga

Sejarah Dan Prestij Jadi Faktor Utama Saingan Piala Malaysia Dikekalkan

Rating Pemain Naturalisasi Dan Kacukan Bersama Skuad Harimau Malaya