Pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Shahrul Mohd Saad mengakui bahawa semangat rakan sepasukannya menjelang perlawanan akhir Piala FA 2022 kini berada di tahap terbaik.

Malah, beliau turut berharap mereka mampu untuk membawa pulang trofi Piala FA selepas kali terakhir kelab gergasi bola sepak negara itu muncul juara pada 2016.

Mula menyertai JDT pada pertengahan musim lalu ekoran masalah tunggakan gaji dialami pasukan lamanya, Shahrul turut mendedahkan beliau kian selesa untuk bergandingan dengan sesiapa sahaja di barisan pertahanan dan berharap rentak positif itu dapat diteruskan menjelang perlawanan akhir Piala FA 2022.

Piala FA 2022: JDT Mara Ke Final Selepas ‘Tibai’ Penang 6-1

“Sudah semestinya Piala FA menjadi sasaran kedua kami selepas Liga Super dan saya harap kami boleh perbaiki apa jua kelemahan menjelang beberapa hari sebelum ke final.”

“Kami akan cuba berikan yang segala-galanya dan berhasrat mahu membawa pulang trofi Piala FA setelah sekian lama kami tidak memenanginya buat Johor.”

“Sebagai pemain pertahanan, kerjasama yang diberikan oleh semua setakat ini sangat baik dan harap kami mampu beraksi dengan baik di final,” tambah Shahrul Saad lagi.

Pada aksi separuh akhir berlangsung 5 Ogos lalu, JDT nyata tidak berdepan masalah untuk melangkah ke final selepas membelasah Penang FC 6-1 di laman sendiri.

Perlawanan tersebut menyaksikan pemain muda, Arif Aiman Mohd Hanapi meledakkan hatrik manakala Bergson da Silva, Fernando Forestieri dan Syahmi Safari masing-masing menyumbangkan satu gol.

Perlawanan akhir Piala FA 2022 akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu, 10 September, waktu sepak mula 9 malam.

Kredit Featured Image: Malaysian Football League