Sebut sahaja tentang Shahrul Mohd Saad, kelibatnya di atas padang dalam mengemudi benteng pertahanan skuad kebangsaan dan Perak (ketika artikel ini ditulis) akan sentiasa bermain di minda seluruh peminat bola sepak tanah air.

Berbekalkan pakej dengan sosok tubuh tegap, kepantasan larian, ketenangan serta bijak mematahkan serangan penyerang pasukan lawan telah menjadikannya sebagai antara pemain pertahanan tengah terbaik pada ketika ini.

Sehubungan dengan kualiti hebat dimiliki Shahrul, tidak hairanlah pemain berusia 28 tahun itu sentiasa menjadi pilihan utama pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dalam mengepalai barisan pertahanan negara.

Di sebalik kecemerlangan ditampilkan Shahrul dalam menggalas tanggungjawab tersebut, ada kisah menarik yang perlu anda tahu tentang adik kepada legenda pertahanan Perak, Syamsul Mohd Saad dan bekas pemain kebangsaan, Shahrizal Mohd Saad ini.

Permulaan karier Shahrul Mohd Saad

Bakat besar Shahrul yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh telah dihidu sejak dari awal apabila beliau dipilih menyertai skuad Piala Belia Perak seawal usia 15 tahun.

Hanya selepas setahun, Shahrul ‘dinaikkan pangkat’ untuk bersama skuad Piala Presiden Perak selama dua musim dan lebih tepat lagi untuk diperkatakan ialah ketika beliau berada di tingkatan empat dan lima.

Pada usia yang begitu muda, Shahrul sudah mendapat pendedahan beraksi di pentas yang lebih besar dan mencabar . Keadaan itu nyata menjadi peluang terbaik buat beliau untuk menyerap tekanan tinggi dalam kariernya.

Kariernya tidak terhenti di peringkat Piala Presiden apabila Shahrul diserapkan pula ke skuad Harimau Muda yang merupakan program kelolaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada tahun 2011 dimana Datuk Ong Kim Swee bergelar ketua jurulatih.

Dari situlah Shahrul bersama rakan sepasukannya yang lain termasuklah Kenny Pallraj diberikan ruang secukupnya untuk menimba pengalaman berguna dalam program tersebut.

Bersama Harimau Muda, Shahrul telah merasai pengalaman berharga di Slovakia untuk sesi latihan selama lima bulan, jelajah Australia dan menyertai Liga Singapura.

Semua elemen dan disiplin diterapkan dalam skuad Harimau Muda pasti memberikan sesuatu yang tidak dapat dilupakan oleh Shahrul dalam menjadikannya sebagai seorang pemain bola sepak berkualiti tinggi.

Selesai tugasan bersama Harimau Muda, Shahrul menyertai Felda United selama semusim dan kembali ke pangkuan negeri asalnya, Perak pada musim 2016 dimana ketika itu skuad ‘Yob’ dibimbing abangnya, Syamsul.

Tidak bermula sebagai pertahanan tengah

Aksi hebat ditampilkan Shahrul di posisi pertahanan tengah mungkin membuatkan kita berpendapat bahawa posisi tersebut merupakan kegemarannya sejak dari awal pembabitan dalam bola sepak.

Tetapi sebenarnya Shahrul merupakan seorang pemain yang mampu untuk beraksi di banyak posisi sejak daripada bangku persekolahan lagi. Difahamkan beliau hanya mula bertindak sebagai pertahanan tengah ketika bersama skuad Harimau Muda.

Ketika bersama SMK Anderson, Shahrul lebih banyak diletakkan sebagai pemain tengah menyerang. Kemudiannya apabila menyertai pasukan Piala Presiden, beliau diberikan tugasan pemain sayap.

Selain itu berikutan kecederaan pemain bek kanan dan tiada pemain yang mampu untuk mengisi kekosongan tersebut, Shahrul ditukarkan ke posisi tersebut sehinggalah ke penghujung musim.

Pengendali Felda United musim 2015, Irfan Bakti Abu Salim pula lebih gemar meletakkan Shahrul sebagai pemain tengah bertahan dan beliau kembali semula bergelar pertahanan tengah sewaktu bersama Perak.

Keadaan itu tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Shahrul merupakan seorang pemain serba boleh apabila melihatkan kepada posisi yang mampu dimainkan oleh beliau.

Ambil masa yang lama biasakan diri dengan peranan sebagai pertahanan tengah

Ketika dihubungi wakil Vocket FC, Shahrul tanpa berselindung mengakui amat sukar buatnya untuk menyesuaikan diri dan selesa dengan peranan sebagai pertahanan tengah.

“Saya sejujurnya memang tiada pengalaman yang banyak bermain di posisi ini. Tetapi atas sokongan rakan sepasukan dan tunjuk ajar daripada jurulatih membuatkan saya mula selesa dengan peranan ini.”

“Saya juga menganggap ini adalah peluang terbaik buat saya untuk terus kekal berada dalam kesebelasan utama pasukan.”

“Memang susah untuk saya menyesuaikan diri dengan rutin latihan sebagai pertahanan tengah kerana saya sebelum ini selalu beraksi di posisi yang berbeza. Tetapi apabila diletakkan sebagai pertahana tengah memang agak lama juga masa diperlukan untuk saya membiasakan diri.”

“Sudah pasti, setiap posisi ada peranan yang cukup berbeza, oleh itu saya perlu untuk benar-benar memahami tugasan sebenar sebagai pemain pertahanan tengah,” ujar Shahrul Saad lagi.

Ketika ditanya posisi manakah yang lebih menjadi pilihannya, ini jawapan pantas daripada Shahrul:

“Sejujurnya saya lebih suka bermain di posisi tengah. Tetapi dalam masa yang sama saya merasakan posisi pertahanan tengah adalah yang terbaik buat saya.”

Apa yang telah dikecapi oleh Shahrul Saad ini merupakan satu perkara jelas bahawa tiada perkara mustahil dalam bola sepak sekiranya seseorang pemain itu bekerja keras, berdisiplin serta gigih dalam usaha memajukan karier mereka.

Siapa yang berusaha, dia mendapat hasilnya!

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Lihat ‘Strategi Pelik’ Para Pemain Karlsruher SC Ketika Sepakan Penjuru

Jonathan Herrera Kini Sah Bergelar Pemain Harimau Selatan

Paolo Maldini: Penerus Legasi Maldini Yang Tiada Tolok Bandingnya