Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mengesahkan penjaga gol yang berusia 23 tahun, Ifwat Akmal telah direhatkan susulan prestasi hambar yang ditampilkan dalam dua perlawanan awal CIMB Liga Super 2020.

Aidil menjelaskan tindakan beliau merehatkan penjaga gol skuad kebangsaan itu adalah bagi mengembalikan semula prestasinya ke tahap terbaik.

“Saya mahu dia kembali bangkit selepas ini dan bersedia bagi hadapi perlawanan seterusnya pada penghujung minggu nanti iaitu berdepan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ifwat Akmal
Sumber Gambar: FA Kedah

Justeru itu, Kedah dijangka akan menurunkan penjaga gol berpengalaman, Shahril Saa’ri pada perlawanan ketiga Liga Super menentang UiTM FC pada malam ini.

Shahril tidak beraksi dalam dua perlawanan awal pada musim ini kerana menjalani penggantungan akibat kad merah.

Januari lalu, beliau mendapat pujian daripada penyokong Kedah selepas menampilkan aksi cemerlang dalam saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang FC Seoul.

“Jika diikutkan penggantungan kad merah yang saya terima pada tahun lepas ini sudah tamat selepas saya menjalani dua perlawanan pada awal musim ini. Jika tidak ada apa-apa tambahan saya sudah boleh beraksi kembali.

“Sekiranya saya dipilih untuk memikul tanggungjawab sebagai penjaga gawang utama oleh jurulatih pastinya saya mahu beri aksi yang terbaik untuk membantu Kedah mendapatkan tiga mata di tempat lawan,” kata Shahril dipetik dalam Berita Harian.

Beliau juga tekad memastikan skuad helang merah meraih kemenangan pertama dan seterusnya memperbaiki kedudukan dalam Liga.

“Dua kekalahan dialami itu menjadi pengajaran sangat berguna buat pasukan agar bangkit dengan lebih bersemangat mencari kemenanagan pada perlawanan seterusnya.

“Kedah belum mendapat sebarang kemenangan sejak bermulanya Liga Super musim ini dan perlawanan seterusnya adalah yang terbaik untuk mencapainya.

“Saya yakin siapa pun dipilih bagi memikul tanggungjawab beraksi menentang skuad UiTM FC Rabu ini pasti mahukan aksi dan usaha terbaik untuk memastikan tiga mata milik Kedah,” katanya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan skuad Kedah melalui pautan dibawah.

Ifwat Akmal Mahu Tinggalkan Pasukan Kedah?

Asmirul Anuar Nafi Kedah Ada Masalah Tunggakan Gaji Dua Bulan

Kedah Lancar Jersi ‘Home’ Dan ‘Away’ Musim 2020, Peminat Samakan Dengan Corak Buah Tembikai