Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Penyerang Selangor FC, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi melihat karakter yang ada pada pengendali, Tan Cheng Hoe cukup disenangi barisan pemain yang pastinya akan memberikan sesuatu dalam perlawanan akan datang.

Selepas Cheng Hoe diumumkan selaku ketua jurulatih baharu Selangor, pemain menerima dengan positif kedatangan bekas pengendali Harimau Malaya itu dalam mengharungi baki perlawanan musim ini.

Bahkan, Shahrel yang pernah berada di bawah bimbingan beliau ketika bersama skuad kebangsaan pada tahun 2019 tidak menolak Cheng Hoe mempunyai keperibadian yang tersendiri membuatkan pemain-pemain selesa berlatih bersamanya.

“Setakat ini saya lihat semua pemain positif dengan adanya Cheng Hoe untuk mengubah sesuatu dalam pasukan ini.”

“Saya nampak beliau ada karakter seorang jurulatih yang boleh menyesuaikan diri dengan pemain-pemain dan kalau nak cakap garang tu, kadang-kadang sahaja.”

“Beliau ada karakter yang sentiasa inginkan kemenangan jadi insyaAllah setiap pemain akan memberikan yang terbaik untuknya”, katanya.

Kredit Foto: Selangor FC

Bekas jurulatih Kedah ini merupakan pengendali ketiga Selangor pada musim ini selepas Michael Feichtenbeiner dan Nidzam Jamil yang dilantik selaku jurulatih interim sebelum ini.

Dan pastinya dengan kehadiran Cheng Hoe dapat membuka peluang lebih luas untuknya terus mendapatkan minit permainan yang memuaskan sebelum Liga Malaysia melabuhkan tirai.

“Bagi saya setiap jurulatih mempunyai peranan masing-masing, jadi Cheng Hoe nampak lebih kepada permainan untuk penguasaan bola jadi tidak mustahil pemain boleh terima apa yang ingin dibawa oleh beliau.”

“Pendapat saya setiap pemain akan ada peluang yang diberikan jadi saya akan tunjukkan apa yang saya ada dekat sini.”

“Tahap kecergasan agak kurang sedikit sebab kurang minit permainan itu, dan saya kena ambil kepercayaan jurulatih untuk membuktikan diri sendiriā€, tambahnya.”

Tan Cheng Hoe diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu Selangor FC dan Nidzam kembali dilantik sebagai penolong jurulatih.