Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Penyerang skuad kebangsaan, Shahrel Fikri dilaporkan semakin hampir untuk menyertai pasukan Negeri Sembilan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Artikel Berkaitan:

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan The Star, T.Avineshwaran dimana Shahrel mahu mencari pasukan baharu setelah dua musim beraksi bersama Selangor dan Negeri Sembilan dilihat sebagai destinasi seterusnya bagi pemain itu.

Pemain yang mesra disapa Eky itu mula beraksi bersama Selangor sejak musim 2021 namun tahun pertamanya bersama kelab Lembah Klang itu tidak berjalan dengan baik apabila beliau mengalami kecederaan retak tulang fibula (bahagian betis) ketika beraksi dengan Selangor pada aksi Liga Super menentang Sri Pahang.

Kecederaan Shahrel memaksa pemain berusia 28 tahun itu melupakan aksi saingan Liga Super pada musim tersebut namun beliau membuat kemunculan semula bersama Selangor dalam saingan Piala Malaysia.

Musim 2022 menyaksikan Shahrel Fikri menjadi pilihan kedua di belakang penyerang import, Caion dan perkara ini nyata menyukarkan beliau untuk menampilkan prestasi sebenar. Sepanjang musim 2022, Eky hanya menjaringkan satu gol dalam 19 perlawanan yang dihadapi.

Sekiranya bekas pemain Nakhon Ratchasima itu menyertai Negeri Sembilan, maka ini akan menjadi peluang keemasan bagi Shahrel untuk mendapatkan semula minit permainan sekaligus kembali ke prestasi terbaik.

Melihat kepada umur beliau, Shahrel masih mempunyai masa untuk kembali ke prestasi terbaik sekaligus membuat kemunculan semula dalam skuad kebangsaan di bawah bimbingan Kim Pan-gon.

Setakat ini, skuad kendalian K.Devan sudah kehilangan beberapa pemain tonggak seperti Khuzaimi Piee dan Syihan Hazmi yang mana kedua-dua pemain bakal menyertai pasukan baharu musim hadapan.

Khuzaimi dikhabarkan semakin hampir untuk menandatangani kontrak bersama Selangor manakala Syihan dikhabarkan bakal menyertai juara liga Super 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT).