Penyerang Negeri Sembilan, Shahrel Fikri dilihat bersedia untuk memberikan cabaran kepada penyerang negara yang lain sekaligus kembali beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Shahrel atau yang lebih mesra disapa Eky kini sedang menampilkan prestasi terbaik bersama Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super dimana beliau menjaringkan empat gol dalam enam aksi terakhir liga.

Baru-baru ini, Eky menjaringkan gol ketika Negeri Sembilan seri 3-3 menentang Kelantan United dan bekas pemain Selangor ini mengekalkan rentak jaringan.

Shahrel Fikri
Sumber Gambar: Negeri Sembilan

Sekiranya Shahrel Fikri mengekalkan prestasi terbaik beliau dalam saingan liga, tidak mustahil ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon memanggil beliau untuk menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada bulan Jun ini.

Malaysia bakal bertemu pasukan Solomon Islands dan Yemen dimana kedua-dua perlawanan ini dijadikan sebagai persiapan awal untuk menghadapi temasya Piala Asia 2023 pada Januari 2024 nanti.

Sebelum ini, Pan-gon memanggil beberapa penyerang iaitu Darren Lok, Syafiq Ahmad dan Sergio Aguero dimana Darren menjadi pilihan untuk membarisi kesebelasan utama.

Kehadiran Eky bakal memberi saingan kepada Darren dan perkara ini baik untuk pasukan negara kerana Pan-gon mempunyai beberapa pilihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Pada jendela FIFA bulan Mac lalu, Malaysia berjaya menewaskan Turkmenistan dan Hong Kong sekaligus memperbaiki kedudukan dalam ranking FIFA.

Skuad kendalian Kim Pan-gon itu menewaskan Turkmenistan (ranking 135) 1-0 pada 23 Mac lepas hasil jaringan tunggal Akhyar Rashid pada minit ke 28.

Berdasarkan perkongsian daripada laman sesawang Footy Rankings, keputusan tersebut sekaligus memberikan tambahan mata sebanyak 5.27 dalam ranking FIFA sekaligus naik ke tangga 139 dunia dengan jumlah 1077.29 mata.

Pada perlawanan kedua, Harimau Malaya mengutip sebanyak 4.84 mata hasil kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong (ranking 146) sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1083.13 mata.

Dengan jumlah itu, Harimau Malaya dijangka naik 4 anak tangga ke kedudukan ranking 138 dunia mengatasi negara seperti Ethiopia, Suriname, Burundi dan Eswatini.

Kali terakhir Malaysia masuk dalam kelompok 130-139 dunia adalah pada Ogos 2010. Kedudukan ini boleh berubah sekiranya Malaysia konsisten mencatat kemenangan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang seterusnya.