Bekas penyerang Selangor, Shahrel Fikri Mohd Fauzi tekad pikat ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon dengan pamerkan aksi terbaik bersama Negeri Sembilan (NSFC) dalam saingan Liga Malaysia musim 2023.

Menurut laporan daripada Arena Metro, Shahrel Fikri disahkan menyertai skuad Hobin Jang Hobin itu dengan kontrak selama semusim.

“Saya berharap untuk mendapat kembali minit permainan yang lebih baik sepanjang bersama Negeri Sembilan musim 2023 ini dan berpeluang beraksi semula dengan skuad kebangsaan.

“Selepas bebas daripada sebarang kecederaan, saya mahu membuktikan prestasi terbaik bersama pasukan baharu ini dan seterusnya dapat memikat semula pengendali kebangsaan, Kim Pang-gon,” kata Shahrel kepada Arena Metro. 

Vietnam
Shahrel Fikri beraksi bersama skuad Harimau Malaya ketika Piala AFF 2018. (Photo by Stanley Chou/Getty Images)

Pemain yang mesra disapa Eky itu mula beraksi bersama Selangor sejak musim 2021 namun tahun pertamanya bersama kelab Lembah Klang itu tidak berjalan dengan baik apabila beliau mengalami kecederaan retak tulang fibula (bahagian betis) ketika beraksi dengan Selangor pada aksi Liga Super menentang Sri Pahang.

Kecederaan Shahrel memaksa pemain berusia 28 tahun itu melupakan aksi saingan Liga Super pada musim tersebut namun beliau membuat kemunculan semula bersama Selangor dalam saingan Piala Malaysia.

Musim 2022 menyaksikan Shahrel Fikri menjadi pilihan kedua di belakang penyerang import, Caion dan perkara ini nyata menyukarkan beliau untuk menampilkan prestasi sebenar. Sepanjang musim 2022, Eky hanya menjaringkan satu gol dalam 19 perlawanan yang dihadapi.

Bersama Negeri Sembilan, maka ini akan menjadi peluang keemasan bagi Shahrel untuk mendapatkan semula minit permainan sekaligus kembali ke prestasi terbaik.

Mengulas mengenai faktor yang mendorongnya memilih skuad Hobin Jang Hobin, Shahril Fikri berkata, dia melihat skuad bimbingan K Devan itu memiliki kekuatan dan reputasi besar di pentas Liga M.

“Negeri Sembilan adalah pasukan yang memiliki reputasi besar dalam Liga M apabila berjaya menamatkan saingan Liga Super musim 2022 di tempat keempat.

“Pencapaian mereka itu mendorong saya memilih pasukan ini dan berharap dapat menimba pengalaman serta bimbingan yang lebih sempurna dalam usaha meningkatkan lagi tahapo prestasi saya.

“Saya yakin dan percaya, dengan kerjasama rakan-rakan lain yang lebih berpengalaman dalam pasukan ini seperti Mohamad Zaquan Adha (Abd Radzak) dan Mahali Jasuli selain Sean Eugene Selvaraj, memberi peluang saya untuk maju ke hadapan,” katanya.