Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Penyerang skuad kebangsaan, Shahrel Fikri tiba-tiba jadi buah mulut dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila muncul sebagai penjaring terbanyak CIMB Liga Super.

Beliau menjaringkan 4 gol dalam perlawanan itu sekaligus muncul sebagai penjaring terbanyak CIMB Liga Super 2020 mengatasi penyerang import Terengganu FC, Dominique Da Silva setakat ini dengan jumlah 9 gol selepas 9 perlawanan.

Sememangnya impian untuk memenangi Anugerah Kasut Emas sudah lama terpendam namun penyerang berusia 26 tahun ini lebih mengutamakan pasukannya terlebih dahulu apabila hanya berbaki dua perlawanan sahaja lagi untuk mengesahkan Perak layak ke Piala AFC 2021.

Ini kerana, skuad kendalian Mehmet Durakovic ini hanya berkelebihan satu mata dengan Kedah yang kini di tangga ketiga liga dan sudah pasti, Shahrel enggan terlalu tamak mengejar jaringan sehingga membelakangkan kejayaan pasukan.

“Sememangnya ini adalah pencapaian membanggakan untuk saya kerana sebelum ini kalau kita tengok, selalunya pemain import yang mendominasi penjaring terbanyak, tetapi sekarang saya berjaya buktikan pemain tempatan juga mampu untuk berada di tahap ini.

“Kalau boleh memang saya nak tambah lagi gol untuk dua lagi perlawanan, tetapi macam-macam boleh jadi dan saya tidak mahu tamak untuk mengejar gol sebaliknya misi utama adalah untuk pastikan Perak menang.

“Dengan 9 gol sekarang, tidak jauh beza dengan penjaring lain seperti Tchetche Kipree (Kedah) dan lain-lain yang kini mengumpul 7 dan 6 gol, dan mereka juga pasti akan turut sama melakukan yang terbaik untuk prestasi masing-masing.

“Apa-apa pun, slot ke Piala AFC tetap diutamakan dan mahu atau tidak, kami kena menang dalam baki dua perlawanan ini,”katanya.

120265635_1413247462207917_560744379130456549_n

FOTO: Perak FA

Shahrel satu-satunya pemain tempatan yang berada dalam kelompok penjaring terbanyak diikuti Kipree, Dominique Da Sylva (Terengganu FC) dan Ifedayo Omosuyi (Selangor) dengan tujuh gol manakala Gonzalo Cabrera (Johor Darul Ta’zim) telah menjaringkan enam gol.

Bakal berdepan Pahang dan Kedah dalam dua perlawanan terakhir liga, bekas pemain Nakhon Ratchasima FC ini menyifatkan ia akan menjadi perlawanan yang cukup sengit terutamanya Kedah yang sudah pasti enggan melepaskan peluang merebut kedudukan kedua terbaik, musim ini.

Namun, Shahrel melihat semangat rakan sepasukan kini cukup baik dengan tiga kemenangan berturut-turut khususnya selepas mereka dimalukan dengan kekalahan besar 7-0 kepada JDT, bulan lalu.

“Saya tengok tahap keyakinan kami semua semakin tinggi dan selepas kalah besar dengan JDT tempoh hari, kami bangkit untuk menang dalam tiga perlawanan berturut-turut.

“Yang penting, kami tidak boleh leka dan perlu ingat, Pahang dan Kedah juga mesti tidak akan memberi laluan mudah kepada Perak kerana mereka juga enggan ketinggalan untuk menamatkan liga di kedudukan terbaik terutamanya Kedah.

“Saya percaya kami semua akan dapat kekalkan momentum yang ada ini selepas berdepan pelbagai cabaran daripada awal musim sehingga kini,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

FAP Dapat Kelulusan Daripada SSM Untuk Guna Nama Penang Football Club

12 Pasukan Selesai Lengkapkan Penswastaan Kelab, 9 Lagi Masih ‘On The Way’

TMJ Dedahkan Kontrak Sumareh Ke Selangor Dengan Gaji RM70,000 Sebulan

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group