Pasukan kebangsaan berjaya mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 apabila menewaskan Timor Leste dengan keputusan 5-1 pada perlawanan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Kemenangan skuad Harimau Malaya semalam diwarnai oleh hatrik daripada penyerang negara, Shahrel Fikri Fauzi. Shahrel dipilih oleh ketua jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe untuk mengemudi jentera serangan sambil dibantu oleh Norshahrul Idlan Talaha selepas Syafiq Ahmad tidak dapat diturunkan akibat masalah kecederaan lutu kiri.

Shahrel Fikri Fauzi
Sumber Gambar: FAM

Shahrel berjaya menjalankan tugas dengan baik dimana gandingan beliau bersama Matyo berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan Timor Leste. Pemain yang pernah beraksi di Thai League 1 ini juga tampak selesa dengan corak permainan yang diterapkan oleh Cheng Hoe dan memahami gerakan rakan sepasukan dengan baik.

Jaringan hatrik Shahrel pada perlawanan semalam sudah cukup membuktikan bahawa beliau sudah bersedia serta mampu untuk memimpin jentera serangan pasukan negara pada perlawanan akan datang. Meskipun berhadapan dengan lawan yang berada satu tahap di bawah Malaysia, namun kemampuan Eki untuk mencipta jaringan wajar diberikan pujian.

Shahrel Fikri
Sumber Gambar: Perak TBG

Kini, apa yang perlu dilakukan oleh Shahrel Fikri ialah mengekalkan momentum serta prestasi semasa bersama pasukan Perak dalam saingan Liga Malaysia. Beliau harus tampil dalam kesebelasan utama secara kerap bagi memperoleh minit bermain yang cukup.