Kelab Bolasepak Kuala Lumpur (KL City) semalam mengumumkan perlantikan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sebagai penaung dan Presiden yang baharu bagi menggantikan tempat Tan Sri Annuar Musa.

Menurut kenyataan rasmi, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis itu akan bertindak sebagai penasihat dalam urusan berkaitan bola sepak untuk membawa KL City ke tahap lebih tinggi.

Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad berkata pelantikan Shahidan akan menjadi bukti perpaduan melalui sukan bola sepak walaupun berbeza fahaman politik.

“Sebagai Presiden KLFA, saya bangga Shahidan telah menerima tawaran kami untuk menjadi Presiden KL City.

“Ini menunjukkan peranan sukan dan bola sepak khususnya merupakan wadah penyatuan iaitu orang yang berbeza fahaman politik seperti saya dan Shahidan boleh bersatu demi kemajuan bola sepak Kuala Lumpur.

“Saya percaya menerusi peranan Shahidan sebagai Presiden KL City FC, kami boleh bersama-sama membawa kelab ke tahap kejayaan lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KL City Stanley Bernard berkata kunci bagi pengukuhan kelab itu adalah dengan mengumpulkan semua pihak berkepentingan.

“Bayangkan sebuah kelab yang mendapat sokongan semua pihak berkepentingan yang sanggup mengetepikan perbezaan dengan matlamat membina pasukan yang kuat dan kompetitif di dalam serta luar padang.

“Menerusi peranan dan tanggungjawab yang jelas dimainkan oleh pihak berkepentingan yang terlibat, kami berhasrat untuk mewujudkan sebuah kelab bola sepak profesional yang mempunyai ramuan yang betul,” katanya.

KL City bakal menentang kelab dari Indonesia, PSM Makassar dalam aksi final Piala AFC Zon Asean di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini. Mereka berpeluang mencipta satu lagi sejarah sebagai juara Zon ASEAN sekaligus mara ke final Antara Zon (Inter-Zon).

Baca artikel lain mengenai perkembangan KL City melalui pautan dibawah.

Piala AFC 2022: KL City Sedia Lakar Sejarah Malam Esok

Piala AFC 2022: ‘Tepisan’ Azri Ghani Bawa KL City Ke Pentas Final

KL City Berpeluang Ke Final Antara Zon Jika Dinobatkan Juara Zon ASEAN Piala AFC