Penantian penyokong mengenai status pertandingan Piala AFC (AFC Cup) 2021 kini telah berakhir apabila Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John mengesahkan  mesyuarat jawatankuasa pertandingan sebulat suara membatalkan kejohanan itu selepas tiada pasukan atau negara yang bersedia untuk menjadi tuan rumah.

Menurut kenyataannya dalam Arena Metro, situasi wabak COVID-19 yang tidak menentu ketika ini telah memberi kesukaran kepada beberapa negara untuk menjadi tuan rumah pada waktu yang singkat dan ia turut menganggu perjalanan liga domestik mereka.

“Jika diikutkan situasi sekarang sememangnya perlawanan Piala AFC batal dan nak jalankan juga ada ke pasukan atau negara mahu menjadi tuan rumah dalam tempoh terdekat ini?

“Oleh itu, bolehlah dikatakan perlawanan terbabit batal dan AFC akan mengeluarkan surat rasmi dalam tempoh dua atau tiga hari ini.

“Jika nak tunda pun banyak perkara harus difikirkan kerana kebanyakan negara sekarang ini masih lagi menutup pintu sempadan selain kes Covid-19 masih lagi tinggi,” katanya kepada Arena Metro.

Undang-Undang
Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John

Pada mulanya, Singapura telah diumumkan sebagai tuan rumah peringkat kumpulan zon ASEAN yang melibatkan pasukan dari Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Vietnam. Namun begitu, mereka telah menarik diri disebabkan oleh peningkatan kes COVID-19.

Berdasarkan laporan daripada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, terdapat 3 zon sahaja yang boleh menganjurkan saingan AFC Cup namun 2 lagi zon iaitu ASEAN dan Selatan berdepan masalah untuk mencari tuan rumah sekaligus berpotensi membawa kepada pembatalan pertandingan itu,

Bagaimanapun, wakil negara iaitu Kedah dari kumpulan H dan Terengganu dari kumpulan I tetap menjalani latihan seperti biasa sambil menunggu pengumuman rasmi mengenai status pertandingan itu daripada AFC.

Baca artikel lain mengenai perkembangan AFC Cup melalui pautan dibawah.

AFC Bercadang Batalkan Saingan Piala AFC Zon Asean

Indonesia Pertimbangkan Tawaran Jadi Tuan Rumah AFC Cup

Perlawanan AFC Cup Zon ASEAN Ditukar Ke Tarikh Lain