Presiden Selangor United Firdaus Mohamed, melihat sudah tiba masanya setiap pemegang taruh Liga Malaysia perlu berdiri atas kaki sendiri dan tidak hanya terlalu bergantung kepada hak penyiaran yang akan diberikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Menurut Firdaus, semua rakan kongsi liga tidak boleh terlalu memberi tekanan kepada MFL untuk mengagihkan hak penyiaran dalam masa terdekat terutama melibatkan baki bayaran hak penyiaran pasukan bertanding musim ini selepas penarikan diri penaja utama Telekom Malaysia (TM).

Firdaus Mohamed
Sumber Gambar: MFL

Firdaus berkata: Tanggungjawab setiap pengurusan pasukan adalah untuk mencari dana dan sekiranya tidak dapat dana daripada MFL, jadi dengan sendirinya mereka kena berusaha dapatkan sumber kewangan sendiri.

“Jika agihan yang dijanjikan tidak disebut dalam kontrak antara semua pasukan dengan MFL, iaitu bersifat subjektif maka ia bukan satu keperluan hendak bagi.

“Setiap pasukan kena sudah bersedia dalam soal ini tanpa mengharapkan dana daripada MFL semata-mata.

“Jika MFL kerap ditekan, lagi susah mereka dalam usaha menyelesaikan baki yang dijanjikan, sebaliknya masa inilah hubungan dengan badan pentadbir bola sepak itu perlu dijaga, ” katanya.

Mustaza Ahmad
Mustaza Ahmad
Sumber Gambar: MFL

Semalam, Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mustaza Ahmad mengesahkan badan pentadbir Liga Malaysia itu sedang berusaha untuk melengkapkan proses dokumentasi untuk menerima dana bagi menyelesaikan baki bayaran hak penyiaran kepada pasukan bertanding musim ini.

Katanya, semua pasukan sedia maklum menerusi notis yang diserahkan oleh MFL di mana MFL sedang dalam proses dokumentasi dengan pihak-pihak tertentu bagi melaksanakan pembayaran kali kedua.

Selain itu, Firdaus menjelaskan bahawa peranan MFL bukan sahaja tertumpu pada soal hak penyiaran tetapi membantu pasukan dalam soal pemasaran dan peningkatan mutu pengurusan ke arah lebih profesional.

Firdaus berkata: Banyak benda boleh buat dengan MFL selain dalam soal dana sahaja berhubung hak penyiaran.

Firdaus Mohamed
Sumber Gambar: Harian Metro

“Seperti Selangor United, MFL menyokong apabila kami mahu ke Sungai Besar untuk musim depan malah sedia berbincang untuk meningkatkan kualiti lampu kerana diikutkan stadium itu hanya boleh bermain pada waktu siang.

“Peranan MFL itu sebenarnya perlu dilihat dengan lebih mendalam oleh setiap rakan kongsi liga kerana apa yang saya nampak, apa sahaja dilakukan MFL sebenarnya ke arah lebih positif dan semua pasukan perlu bergerak ke arah yang sama,” katanya.