Penolong jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohamad Nik mengakui kehadiran pemain pertahanan import dari Ukraine, Serhii Andrieiev menjadi harapan pasukan itu untuk memperkukuhkan benteng pertahanan dalam saingan Piala Malaysia yang akan bermula pada bulan Ogos ini.

Beliau berkata demikian setelah menilai prestasi pemain itu ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi terakhir Liga Super minggu lalu. Pemain berusia 29 tahun itu berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan gol kedua TFC ketika seri 3-3 dengan skuad Harimau Selatan.

“Dia (Andrieiev) bermain dengan baik di posisi pertahanan bertemu JDT walaupun kali pertama beraksi dengan pasukan TFC.

“Lebih menggembirakan kami, dia menghasilkan jaringan selain menjadi pemain sasaran kita meledak gol melalui situasi ‘set-piece’. Jadi kehadiran pemain itu tepat pada masanya,” ujar Mohamad dalam Arena Metro

segey
FOTO: TFC

Skuad Terengganu FC sebelum ini telah kehilangan tonggak pertahanan, Amirzafran yang cedera semasa perlawanan menentang Pahang FA dan berkemungkinan tidak akan dapat beraksi di saingan Piala Malaysia musim ini. Malah, mereka mengugurkan pemain import terdahulu, Igoq Zonjic ekoran masalah kemerosotan prestasi.

Lebih malang pemain baharu yang menggantikan Zonjic, Luis Gustavo Camilo dari Brazil gagal menyarung jersi skuad itu selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) enggan mengeluarkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) kepada pemain itu gara-gara terlewat 30 saat mengemukakan dokumen penting dalam Sistem Pemadanan Perpindahan (TMS).

Kehadiran Andrieiev sedikit sebanyak dapat membantu untuk memperkemaskan benteng terakhir Terengganu FC dan memberikan pilihan untuk pengendali pasukan, Nafuzi Zain untuk membuat rotasi pemain yang ada.

“Andrieiev perlu mempamerkan aksi lebih mantap kerana saingan Piala Malaysia ini pasti lebih sengit bermula pada peringkat kumpulan lagi,” ujar Mohamad.

Sumber