Enam kad merah dilayangkan oleh pengadil ketika aksi Superclasico antara River Plate menentang Boca Juniors dan bekas penjaga gol Manchester United, Sergio Romero menjadi punca di atas insiden tersebut.

Dalam perlawanan tersebut, Romero yang beraksi untuk Boca Juniors mendakwa beliau diprovokasi oleh salah seorang pemain lawan iaitu Agustin Palavecino sebelum pergaduhan besar berlaku.

Sebelumnya, Romero dibolosi menerusi sepakan penalti ketika masa kecederaan dan pemain berusia 36 tahun itu tidak berpuas hati di atas tindakan Agustin yang merayakan gol tersebut secara berlebihan.

Selepas pergaduhan berjaya dileraikan, pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepada tiga pemain River Plate iaitu Palavecino, Ezequiel Ignacio Centurion dan Elias Gomez. Tiga pemain Boca turut dilayangkan kad merah iaitu Miguel Merentiel, Ezequiel Fernandez dan Nicolas Valentini.

Selepas perlawanan, Sergio Romero menjelaskan mengapa beliau mengamuk terhadap Palavecino dimana beliau menegaskan pemain itu tidak menghormati pasukan lawan.

“Ini semua kerana perangai mereka. Sekarang mereka tidak menghormati kami. Budak ini [Palavecino] pergi meraikan gol bersama rakan sepasukannya dan Borja di sudut dan dia menjerit gol di hadapan pemain pertahanan saya.

“Mula-mula saya fikir dia meraikan jaringan tersebut. Tetapi tidak, dia melihat ke arah kami, itulah yang menjana reaksi kami. Saya bertindak balas, saya berlari keluar dan memegang pinggangnya dan bertanya kepadanya mengapa dia berbuat demikian dan kemudian rakan sepasukan saya menyangka saya mahu bergaduh dan mereka mengejar saya, begitu juga dengan pemain River,” katanya.

Bekas penjaga gol skuad Argantina itu juga pelik mengapa pengadil mengeluarkan banyak kad merah dalam aksi tersebut.

“Ini satu lagi situasi yang pelik. Saya tanya pengadil mengapa dia melayangkan begitu banyak kad merah, beliau menjawap tindakan itu diambil selepas melihat VAR dimana ada pemain yang menumbuk pemain lain. Saya bertanya kepada rakan adakah ianya betul. Mereka menafikan ada insiden tumbukan. Kita tengok sama ada perkara itu betul terjadi,” tambahnya.