Switzerland melangkah ke pusingan 16 Piala Dunia 2022 selepas berjaya menundukkan Serbia 3-2 pada aksi terakhir peringkat kumpulan G yang berlangsung di Stadium 974, Ras Abu Aboud, sebentar tadi.

Kemenangan itu meletakkan Switzerland ditangga kedua manakala Brazil yang lebih awal mengesahkan kemaraan bergelar juara kumpulan hanya dengan kelebihan perbezaan jaringan ekoran kekalahan juara lima kali itu ditangan Cameroon.

Skuad kendalian Murat Yakin itu bermula dengan baik apabila mengancam kubu Serbia seawal minit pertama tetapi percubaan Breel Embolo dan Granit Xhaka dinafikan penjaga gol, Vanja Milinkovic-Savic.

Serbia kemudiannya terlepas peluang terbaik untuk membuka jaringan pada minit ke-11 selepas percubaan daripada Andrija Zivkovic sekadar singgah di tiang gol.

Xherdan Shaqiri membuatkan kem Switzerland melonjak kegembiraan ketika permainan memasuki minit ke-20 apabila rembatannya selepas menerima lorongan Djibril Sow dalam kawasan penalti tidak mampu dihalang Milinkovic-Savic.

Kelebihan itu bagaimanapun hanya bertahan selama enam minit dimana Aleksandar Mitrovic menyamakan kembali kedudukan apabila beliau menanduk masuk bola hasil hantaran dilakukan Dusan Tadic.

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Dusan Vlahovic mengambil kesempatan susulan kesilapan pemain Switzerland di kawasan sendiri sekali gus rembatannya dalam kawasan penalti memberikan gol kedua buat Serbia pada minit ke-35.

Aksi selepas itu bertambah menarik dengan tambahan satu lagi gol pada minit ke-44 oleh Breel Embolo untuk Switzerland mengikat kembali kedudukan.

Berpunca daripada hantaran lintang menarik dilakukan Silvan Widmer, Embolo yang tidak dikawal mudah untuk menyudahkan peluang terhidang untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Remo Frueler muncul wira buat Switzerland apabila jaringannya pada minit ke-48 sudah cukup untuk memberikan bekalan berguna buat pasukannya yang kental bertahal hingga tamat permainan bagi mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati.

Menanti Switzerland di pusingan 16 ialah juara kumpulan H iaitu Portugal manakala Brazil pula bakal berentap dengan wakil Asia, Korea Selatan.