Skuad kebangsaan Jepun menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat peminat bola sepak dunia apabila menewaskan gergasi eropah, Sepanyol 2-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan pasukan yang dikenali sebagai ‘Samurai Blue‘ tersebut muncul sebagai juara kumpulan F selepas mengutip 6 mata mengatasi Sepanyol (4 mata) sekaligus menyingkirkan satu lagi pasukan pilihan, Jerman dan Costa Rica.

Dalam perlawanan tersebut, Sepanyol menguasai separuh masa pertama dengan corak permainan hantaran pendek dan terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan menerusi tandukan Alvaro Morata seawal minit ke 11.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh jentera serangan Jepun selepas itu dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Jepun bangkit dengan corak permainan yang berbeza dan terus melancarkan serangan ke kubu pertahanan Sepanyol sebaik sahaja pengadil meniup wisel permulaan separuh masa kedua.

Ketumpulan bahagian penyudah memaksa ketua jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu melakukan pertukaran pemain dengan masukkan Ritsu Doan bagi menggantikan tempat Takefusa Kubo.

Percaturan Hajime membuahkan hasil apabila Ritsu Doan berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Sepanyol, Unai Simon.

https://twitter.com/i6astv/status/1598408136783790083?s=20&t=Pycyr2wws-paHyFP0OTLOw

Jaringan itu memberikan semangat tambahan kepada skuad Jepun untuk terus mengandakan asakan demi memburu tempat ke pusingan kalah mati buat kali keempat dalam sejarah Piala Dunia mereka.

3 minit kemudian, Stadium Antarabangsa Khalifa kembali bergema dengan sorakan penyokong apabila Jepun menambah gol kedua menerusi tolakan Ao Tanaka hasil hantaran Kaoru Mitoma.

Gol tersebut menjadi kontroversi dan topik bualan hangat di media sosial kerana bola didakwa telah terkeluar dahulu daripada garisan sebelum dikuis oleh Mitoma.

Namun begitu, pengadil menjelaskan jaringan tersebut adalah sah berdasarkan penelitian melalui video rakaman (VAR).

Tersentak dengan jaringan itu, Sepanyol kembali mengandakan asakan tetapi kali ini mereka berdepan kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan Jepun yang beraksi dengan cukup berdisiplin.

Beberapa peluang terhidang juga berjaya dinafikan oleh penjaga gol Jepun, Shuichi Gonda sekaligus memastikan pasukan ‘tiki-taka’ tersebut alami kekalahan pertama dalam saingan Piala Dunia 2022. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Jepun merupakan pasukan kedua dari benua Asia (AFC) yang telah mara ke pusingan kalah mati selepas Australia. Mereka bakal menentang naib juara Piala Dunia, Croatia di pusingan 16 pada 5 Disember.