Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal diperkuatkan oleh seorang lagi penyerang import berkualiti dari Brazil bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang lebih mencabar pada musim depan.

Perkembangan itu didedahkan oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) dalam satu video mengenai perbicaraan perubahan di masa hadapan, perancangan akan datang, aspirasi dan perpindahan pemain.

Menurut TMJ, mereka memerlukan seorang lagi penyerang berkualiti sebagai ‘backup plan’ sekiranya penyerang utama, Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri mengalami kecederaan sebelum perlawanan penting.

“Kita akan beli seorang pemain import yang sudah 80 peratus dalam perbincangan dan akan berlaku tidak lama lagi.

“Kami juga ada seorang lagi penyerang Brazil yang akan membantu jurulatih buat perubahan dari segi formasi supaya kami boleh ada pemain-pemain yang hebat jikalau perlu memberi rehat kepada Fernando Forestieri atau Bergson.

“Jadi kita boleh membuat pertukaran dengan pemain-pemain yang berkualiti pada masa yang sama,” kata TMJ.

Berdasarkan khabar angin di media sosial, antara penyerang Brazil yang disebut-sebut bakal menyertai JDT ialah Diogo Luis Santo yang pernah bersama Harimau Selatan pada musim 2019 hingga 2020.

Penyerang yang berusia 35 tahun itu dilaporkan telah tamat kontrak dengan bekas juara Thai League 1, BG Pathum United setelah dua setengah musim beraksi bersama pasukan tersebut.

Berdasarkan rekod, beliau pernah membantu JDT memenangi saingan Liga Super (2019,2020), Piala Malaysia (2019) dan Piala Sumbangsih (2019,2020).

Bersama BG Pathum, penyerang itu tampil dalam 27 perlawanan dan menjaringkan 17 gol sekaligus membantu skuad The Rabbits memenangi saingan Thai League 1 musim 2020/2021 dan Thailand Champions Cup pada tahun 2021 dan 2022.

Secara keseluruhan, Diogo telah menjaring 218 gol sepanjang beraksi di Thailand manakala ketika menyarung jersi JDT, beliau menjaringkan 16 gol, satu rekod yang cukup baik bagi pemain import di rantau Asia Tenggara.

Diogo dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk mencari pasukan baharu berdasarkan rekod jaringan beliau yang cukup cemerlang baik ketika beraksi di Thailand mahupun Malaysia.

Siapakah sebenarnya penyerang Brazil tersebut? Nantikan pengumuman rasmi daripada JDT.