Ketua jurulatih pasukan Pahang, Dollah Saleh menegaskan perancangan yang telah disusun serba tidak menjadi apabila tersingkir daripada saingan Piala FA 2019 apabila tewas kepada Perak semalam.

Menurut Dollah, pasukan bimbingannya terlalu menumpukan fokus untuk bertahan dan Perak mengambil kesempatan untuk melancarkan gerakan serangan sekaligus membuatkan pemain Pahang berada dalam tekanan.

“Kita lihat segalanya seperti tidak menjadi pada perlawanan malam ini (semalam). Kita terlalu tumpukan untuk bertahan dan Perak membuat serangan demi serangan dan perkara itu menyebabkan barisan pertahanan membuat kesilapan.

“Selepas dibolosi tiga gol, kami seolah-olah kita hilang tumpuan dan cuba untuk bangkit pada separuh masa kedua. Namun segala usaha yang dilakukan tidak membuahkan hasil,” kata Dollah.

Menurut bekas pengendali pasukan kebangsaan itu, beliau tidak menyangka tiada satu peluang pun untuk pasukannya bagi menjaringkan gol.

Tambah Dollah, pemain tengah Perak, Leandro Dos Santos memainkan peranan dimana pemain dari Brazil itu telah merosakkan permainan Pahang.

Leandro Dos Santos
Sumber Gambar: MFL

“Leandro melakukan provokasi terhadap pemain saya dan melakukan bermacam-macam perkara untuk merosakkan permainan kami.

“Tindakan beliau bagi saya tidak profesional dan kami di luar padang pun berasa sakit hati dengan tindakan beliau. Leandro sengaja melengah-lengahkan masa dan beliau seolah-olah membuatkan pemain Pahang mudah menerima layangan kad,” tambahnya.

Tiga jaringan oleh Brendan Gan, J.Partiban dan gol sendiri oleh pemain Pahang, Faisal Rosli pada separuh masa pertama sudah cukup untuk melengkapkan kebangkitan pasukan Perak sekaligus menyingkirkan skuad Tok Gajah daripada saingan Piala FA musim ini.

Perak akan menanti sama ada pasukan Kedah atau Felda United yang akan menjadi lawan mereka pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 27 Julai nanti.