Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan kesemua pasukan Liga Super akan mengisi slot TM Piala Malaysia 2022 selepas satu daripadanya telah ditinggalkan oleh Melaka United FC (MUFC).

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu dicapai oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas ketiadaan MUFC dalam aksi TM Piala Malaysia musim ini disebabkan kegagalan menyelesaikan masalah tunggakkan gaji pemain dan pegawai.

“MUFC kini sedang menduduki tempat kesembilan Liga Super 2022 dan tidak dibenarkan untuk bertanding dalam pertandingan TM Piala Malaysia 2022.

“Maka pasukan pengganti harus dipilih daripada Liga Super untuk mengekalkan bilangan 11 pasukan Liga Super dan lima pasukan Liga Premier dalam pertandingan Piala Malaysia 2022 di mana kesemua pasukan Liga Super kecuali MUFC akan memperolehi slot TM Piala Malaysia 2022,” kata MFL dalam satu kenyataan rasmi.

Masalah tunggakan gaji yang masih belum dilunaskan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan oleh MFL menjadi punca Melaka United tidak dibenarkan beraksi dalam kempen TM Piala Malaysia 2022.

Dilaporkan, pihak Melaka United telah menerima notis peringatan pada 6 September 2022 untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain yang terlibat sehingga 20 September 2022.

Namun, sehingga 21 September 2022, Melaka United hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran sehingga Jun 2022.

“Melaka United gagal mematuhi arahan yang telah dikeluarkan di mana mereka hanya membuat pembayaran baki tunggakan gaji sehingga Jun 2022. Selain itu mereka juga belum mendapatkan persetujuan bersama pemain dan pegawai bagi bayaran baki tunggakan gaji berkenaan.”

“Maka atas sebab itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan tidak membenarkan Melaka United bertanding dalam saingan TM Piala Malaysia musim ini.

“MFL mengingatkan agar Melaka United dapat menyelesaikan baki tunggakan gaji berkenaan bagi mengelakkan mereka tidak diberikan lesen bersaing dalam Liga Malaysia 2023,” kata MFL.

Sementara itu menurut MFL lagi mengenai perkembangan lain berkaitan tunggakan gaji, Sarawak United FC telah menjelaskan semua bayaran gaji tertunggak kepada pemain sehingga bulan Ogos 2022.

“Walaupun ada usaha ditunjukkan oleh pihak pengurusan Sarawak United untuk menyelesaikan tunggakan gaji ini, MFL tetap memberi peringatan kepada Sarawak United agar isu seumpama ini tidak berulang lagi yang boleh memberi kesan kepada lesen untuk bertanding dalam Liga Malaysia 2023.” tambahnya.