Peminat bola sepak tempatan kini berpeluang menyaksikan siaran langsung perlawanan Liga Premier 2021 di rumah masing-masing apabila Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan mengesahkan kesemua pasukan telah dibenarkan membuat siaran langsung di laman media sosial atau platfom striming untuk baki perlawanan musim ini.

Hak siaran Liga Premier sebelum ini dipegang oleh MyCujoo sehingga memberi kesukaran kepada pasukan untuk menyiarkan perlawanan melalui platform masing-masing.

Kebenaran daripada MFL akan memberi peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan melalui kutipan bayaran siaran langsung dalam setiap perlawanan.

“Pihak MFL berharap ini membolehkan lebih peminat menyaksikan perlawanan dan juga dapat membantu kelab-kelab Liga Premier memberi pulangan komersial kepada penaja masing-masing,” katanya  Dato’ Ab Ghani dalam satu mesyuarat atas talian baru-baru ini bersama wakil kelab-kelab Liga Premier.

Liga Malaysia

Sepanjang tempoh perlawanan Liga Malaysia sehingga 9 Mei 2021, sejumlah 62,318 penonton telah hadir ke stadium menyaksikan perlawanan Liga Super dan Liga Premier di mana kapasiti penonton dalam setiap perlawanan dihadkan mengikut kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 41 perlawanan Liga Super dan 10 perlawanan Liga Premier berlangsung dalam tempoh kebenaran itu dengan aksi Kedah Darul Aman FC menentang Terengganu FC pada 9 April 2021 di Stadium Darul Aman merekod kehadiran penonton tertinggi sebanyak 5,941.

“Kita berharap penularan wabak COVID-19 dapat dikawal dengan baik serta lebih ramai rakyat Malaysia mendapat suntikan vaksin agar penonton kembali mendapat kebenaran untuk hadir ke stadium dalam masa terdekat ini.

“Kita melihat kejohanan di luar negara sudah membenarkan penonton hadir ke stadium dan saya percaya penonton di negara ini turut tidak sabar untuk berada di stadium menyaksikan perlawanan Liga Malaysia.

“MFL amat terharu dengan sambutan yang telah diberikan oleh peminat-peminat bola sepak tanah air. Teruskan menyokong bola sepak kita, Liga Malaysia liga kita.

“Tidak lupa penghargaan yang tidak terhingga kepada pihak kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberikan kelulusan manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan kerjasama sangat baik kepada MFL untuk meneruskan Liga Malaysia dalam tempoh mencabar ini,” jelas Dato’ Ab Ghani.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

Lebih 21 Juta Penonton Menyaksikan Siaran Langsung Perlawanan Liga Super 2021

Status PKPD Halang Sri Pahang Adakan Perlawanan Persahabatan

Perlawanan Liga Malaysia Tidak Dibenarkan Berlangsung Di Kawasan PKPD

Arif Aiman Dan Hakimi Abdullah Pemain Muda Paling Bernilai Liga Malaysia