Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan skuad Harimau Malaya telah dapat lampu hijau untuk menjalani latihan pusat secara kuarantin sebagai persiapan menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022.

Bagaimanapun, kebenaran itu tidak melibatkan sesi latihan pasukan Liga Malaysia yang telah tergendala sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

PKP akan dilaksanakan seluruh negara mulai esok kecuali negeri Sarawak susulan peningkatan kes wabak pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) PKP, segala aktiviti sosial seperti sukan berkumpulan (Bola Sepak) tidak dibenarkan berlangsung sekaligus menjejaskan persiapan pasukan Liga Malaysia untuk menghadapi musim baharu yang bermula bulan depan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan perkembangan itu dan beliau turut memberi bayangan saingan Liga Malaysia 2021 mungkin terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh baharu.

“Sebenarnya keputusan ini (kebenaran skuad Harimau Malaya berlatih) tidak melibatkan saingan Liga-M, cuma atas kepentingan negara keputusan ini dibuat dan ia sama sekali tidak melibatkan pasukan dan kelab berada di negeri-negeri di bawah PKP.

“Kefahaman (keperluan skuad Harimau Malaya berlatih) Menteri tinggi kerana mungkin memikirkan ini faktor negara. Pada kita (MFL) bila PKP dilaksanakan pasukan tidak boleh adakan latihan dan kita juga tidak dapat jangkakan PKP ini akan disambung atau tidak.

“Kita nampak, sudah timbul kesukaran mengenai penjadualan liga dan kita juga tidak pasti bila pasukan-pasukan Liga-M boleh dapat peluang berlatih untuk membuat persediaan rapi menghadapi musim baharu Liga-M dalam tempoh PKP,” katanya dalam Bernama.

FAM
Sumber Gambar: FAM

Terdapat juga khabar angin mengatakan Liga Malaysia akan ditangguhkan pada bulan April untuk memberi laluan kepada persiapan pasukan kebangsaan. Namun, sehingga artikel ini ditulis belum ada pengumuman rasmi daripada badan pengendali liga, Malaysia Football League (MFL).

Skuad Harimau Malaya dijadualkan bertemu Bahrain dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 19 Mac di Manama sebelum menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang UAE pada 25 Mac 2021 di Dubai.

5 hari kemudian, mereka dijadualkan menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk perlawanan ketujuh kumpulan G.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

RASMI: Dominique Da Sylva Penggempur Baharu Kuala Lumpur United

Penyerang Arema FC Kini Hangat Dikaitkan Dengan Perpindahan Ke Sri Pahang FC

Allee Putra Mahu Terus Kekal Di Sepanyol, Kejar Peluang Beraksi Bersama Pasukan Profesional