Majoriti pengendali pasukan Liga Malaysia sudah bersedia mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan dikeluarkan oleh Malaysian Football League (MFL) selepas mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menjalani latihan bermula 15 Februari ini.

Ketua jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt, mengakui lega kerana mereka tidak perlu menunggu terlalu lama untuk memulakan latihan semula selepas sebulan mereka tidak dapat jalani latihan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 13 Januari lalu.

Beliau optimis pemainnya masih berada di tahap terbaik bagi memulakan latihan kerana sepanjang tempoh PKP, pemain-pemainnya telah menjalani latihan yang ditetapkan secara dalam talian dan bersedia kembali jalani latihan seperti biasa.

Pasukan
Sumber Gambar: UiTM FC

“Sememangnya saya dan pasukan teruja dengan pengumuman semalam kerana akhirnya kami dapat turun ke padang, seterusnya diharapkan Liga Malaysia dapat bermula pada musim ini.

“Kami tidak ada masalah untuk mengikut SOP yang ditetapkan iaitu program latihan berpusat mengikut model gelembung sukan kerana kami mempunyai kemudahan yang mencukupi tempatkan semua pemain.

“ Apa-apapun kami akan menilai terlebih dahulu SOP yang akan dikeluarkan oleh MFL dan melihat daripada situ bagaimana cara pelaksanaannya, ” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto, juga gembira dengan kebenaran kerajaan untuk semua pasukan melakukan latihan sambil melihat perkara itu penting agar perancangan Liga Malaysia dapat berjalan seperti dirancang pada musim ini.

Pasukan
Sumber Gambar: MFL

Tambahnya, semua pasukan sudah tentu mempunyai perancangan masing-masing sejak bermula awal tahun ini dan pengumuman MKN itu diharap akan memberikan keselesaan kepada jurulatih dalam merangka sistem latihan yang bersesuaian.

“ Saya rasa bukan sahaja Sabah tetapi semua pasukan Liga Malaysia gembira apabila mendapat perkhabaran ini kerana memberikan satu permulaan positif kepada Liga Malaysia.

“ Apa jua SOP yang digariskan oleh MKN, kami sedia ikutinya kerana tidak mahu sebarang masalah membabitkan kesihatan pemain akan terjadi nanti demi memastikan liga kita mampu berjalan dengan lancar.

“ Selain itu, kami betul mahukan Liga Malaysia dapat bermula seperti biasa musim ini dengan semua perlawanan dapat dijalankan tanpa sebarang penangguhan, “ katanya.

Kerajaan pada Selasa membenarkan program latihan berpusat dijalankan bagi pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL), bermula 15 Februari ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Teknikal PKP mendengar pembentangan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan membuat penilaian risiko.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Selepas Dua Musim, Safiq Rahim Kembali Ke Pangkuan JDT

Stadium Sultan Ibrahim Tersenarai Dalam 20 Calon ‘Stadium of The Year 2020’, Stadium Pertama Di Malaysia Seumpamanya

MFL: Liga Malaysia Bermula 5 Mac 2021, JDT Bertemu Kedah Buka Tirai Piala Sumbangsih