Penyokong kelab bola sepak Negeri Sembilan (NSFC) semalam dikejutkan dengan kehadiran pemain import baharu ketika perlawanan persahabatan menentang KL City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dalam perlawanan itu, skuad kendalian K. Devan mendahului 1-0 hasil jaringan Filemon Anyie pada minit ke 48 sebelum KL City bangkit menyamakan kedudukan menerusi Kipre Tchetche.

Namun begitu, kelibat Levy Madinda dalam senarai kesebelasan utama NSFC menjadi persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan di media sosial kerana beliau merupakan antara pemain yang turut menyertai kem latihan pra musim JDT di Dubai minggu lepas.

Levy Madinda baru pulang dari kem pra musim JDT di Dubai.

Madinda bukanlah asing dalam kalangan peminat kerana beliau pernah beraksi bersama pasukan Sabah pada musim lepas sebelum diumumkan sebagai pemain import JDT.

Difahamkan pemain yang berusia 31 tahun itu telah dipinjamkan ke NSFC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Kemasukannya dalam skuad Hobin Jang Hobin itu bakal memperkuatkan bahagian tengah berganding dengan Mahalli Jasuli, Hasbullah serta Filemon Anyie. Selain Madinda, dua lagi pemain import yang sertai pasukan itu ialah Herold Goulon dan pemain kebangsaan Republik Chad, Ezechiel Ndouasel.

Berdasarkan rekod, Madinda mempunyai 53 kaps bersama skuad kebangsaan Gabon dan juga merupakan rakan sepasukan kepada bintang terkemuka dunia, Pierre-Emerick Aubameyang.

Setelah menampilkan prestasi yang baik bersama Sabah dalam saingan Liga Super musim lepas, Madinda mendapat kepercayaan untuk beraksi di pentas antarabangsa bersama Gabon dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022.

Madinda juga mempunyai pengalaman beraksi di Eropah dimana beliau pernah menyarung jersi kelab Sepanyol, Celta Vigo , kelan Greece, Asteras Tripolo dan beberapa kelab Turki seperti Ümraniyespor serta Ankara Keçiörengücü.

Di peringkat antarabangsa, beliau berjaya menjaringkan 6 gol. Selain itu, beliau pernah membantu skuad Gabon B-23 tahun memenangi Africa U-23 Cup of Nations pada tahun 2011.