Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan sembilan daripada 12 pasukan yang beraksi pada saingan Liga Super 2019 telah lulus dan diberikan lesen kelab kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super musim 2020.

Perkara ini telah diputuskan pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 26 dan 27 September lalu.

Sembilan kelab yang diberikan lesen kebangsaan itu adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah FA, Kuala Lumpur FA, Perak FA, Pahang FA, Selangor FA, Terengganu FA, Felda United FC dan Petaling Jaya City FC.

JDT
Sumber Gambar: JST

Dua kelab iaitu Melaka United dan PKNS FC diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat yang mana mereka perlu melengkapkan keperluan yang disyaratkan sebelum 30 Oktober 2019. Jika kedua-dua pasukan gagal untuk berbuat demikian, lesen berkenaan akan ditarik balik dan mereka akan diturunkan ke Liga Premier 2020.

Sementara satu lagi kelab iaitu PKNP FC telah ditolak permohonan mereka dan gagal untuk mendapatkan lesen kebangsaan di atas kegagalan untuk melengkapkan kriteria-kriteria yang diperlukan, sekaligus diturunkan ke Liga Premier 2020.

Daripada sembilan kelab yang lulus lesen kebangsaan di atas, enam pasukan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah FA, Kuala Lumpur FA, Perak FA, Selangor FA dan Terengganu FA turut diberikan lesen AFC bagi membolehkan pasukan-pasukan ini beraksi pada Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 jika mereka layak.

Khyril Muhymeen
Sumber Gambar: FA Selangor

Bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2019.

Di samping itu, FIB juga akan melakukan lawatan dan audit ke kelab-kelab berkenaan selepas 15 Disember 2019 bagi memastikan apa yang dinyatakan mereka dalam surat pengisytiharan itu adalah benar, sebelum musim baharu Liga Super dan Liga Premier 2020 bermula.

Baca artikel lain mengenai perlesenan kelab Liga Malaysia di sini:

Tiga Pasukan Liga Super Gagal Hantar Dokumen Lengkap Perlesenan Kelab