Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Jika musim lalu hanya beraksi satu perlawanan ketika bersama Penang FC, penyerang Kelantan, Nurshamil Abdul Ghani sama sekali tidak menyangka musim ini dia berjaya melakar sesuatu yang gemilang buat dirinya apabila muncul penjaring terbanyak bagi pemain tempatan di Liga Premier.

Melalui catatan sembilan gol, Nurshamil secara jujur dia langsung tiada sebarang perancangan ke Kelantan pada awal musim tetapi melalui usaha keras pihak pengurusan yang percaya dengan kemampuannya serta restu keluarga, dia bersyukur masih menemui sentuhan jaringan dalam kebanyakan perlawanan yang dilalui.

Nurshamil juga gembira melalui prestasi cemerlangnya bersama Kelantan,dia berjaya membawa pasukan mara ke saingan TM Piala Malaysia 2021 yang akan bermula Ahad ini.

Nurshamil Abdul Ghani

Sumber Gambar: TRW Kelantan FC

“Saya memang tidak jangka perkara ini akan berlaku kerana pada awalnya Kelantan tiada dalam perancangan untuk saya datang tetapi selepas mendapat tawaran, saya ada bincang dengan keluarga.

“Keluarga saya menjadi pendorong untuk datang ke Kelantan dengan mereka menasihatkan saya mungkin memulakan sesuatu yang baharu serta boleh naikkan karier saya balik.

“Saya tidak letak harapan tinggi masa bermula dengan Kelantan, saya hanya mahu mendapatkan lebih banyak minit bermain tetapi tidak menjangka boleh dapatkan sembilan gol.

“Memang rasa bersyukur sangat dengan apa yang berlaku dan bertambah gembira, saya muncul pemain tempatan terbanyak yang menjaringkan gol bagi saingan Liga Premier musim ini,” katanya.

Pada saingan TM Piala Malaysia, Kelantan akan berada dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), PJ City dan Sabah FC dengan aksi pembukaan berdepan JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin ini.

Nurshamil tidak berasakan Kelantan perlu merendah diri pada saingan TM Piala Malaysia sebaliknya optimis yang mereka mampu mencuri satu slot ke suku akhir.

“Apabila sudah layak ke TM Piala Malaysia, sudah tentu kami mahu menjadi pencabar kepada semua pasukan yang ada tidak kira JDT, PJ City atau Sabah, kami yakin mampu beri saingan.

“Pemain-pemain kena cepat sesuaikan diri dengan situasi perlawanan yang kita akan lalui dan mereka juga kena tahu TM Piala Malaysia adalah platform terbaik buat mereka membuktikan potensi masing-masing.

“Di pentas inilah ramai akan lihat semua pemain dan mungkin peluang lebih baik mampu hadir dalam karier jika boleh peraga aksi cemerlang dalam tiap perlawanan yang dilalui,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

KFA Akan Berunding Dengan LHDN Untuk Hapus Kira Tunggakan Cukai Tahun Lalu

Joma Terus Bersama Selangor Sehingga 2023 Dengan Jumlah Penajaan Bernilai RM2.1 Juta Setahun

Enam Pemain Utama Yang Tidak Dipanggil Sertai Skuad Kebangsaan Kali Ini

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group