Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Tonggak muda JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi menyifatkan gol yang dijaringkannya menerusi sepakan percuma pada Sabtu lalu cukup bermakna apatah lagi dalam perlawanan terakhir Liga Super musim ini.

Artikel Berkaitan:

Penutup saingan Liga Super 2022 yang lengkap buat Arif Aiman apabila beliau berjaya menyempurnakan sepakan percuma menarik untuk membantu kemenangan 3-0 buat tuan rumah.

Lebih manis, jaringan menarik dihasilkan Arif Aiman dan Bergson da Silva itu menjelma dihadapan 34,038 penyokong setia yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim dimana majlis meraikan kejuaraan Liga Super ke-9 berturut-turut bersama JDT II, Akademi JDT, pasukan Hoki Ais JDT, Bola Jaring (Johor Jewels), Sepak Takraw (Johor Tigris) dan pemain-pemain ragbi negeri turut diadakan selepas perlawanan.

Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun ini tidak akan berhenti daripada berusaha untuk terus membantu pasukan baik daripada sumbangan gol atau hantaran.

Arif Aiman
Kredit Foto: Malaysian Football League

“Alhamdulillah dapat juga untuk menjaringkan gol apatah lagi dalam perlawanan terakhir liga dan rasa cukup menakjubkan apabila ramai yang datang untuk meraikan kejayaan ini.”

“Saya juga teruja untuk meraikannya apabila kami menjuarai liga dan saya ingat saat ini sampai bila-bila dalam karier saya.”

“Dan selepas ini macam mana kami menang trofi Liga Super, macam itu juga kami nak menang untuk aksi Piala Malaysia pula,” ujar Arif Aiman.

Di pusingan 16 saingan Piala Malaysia 2022, JDT akan bertemu PJ City yang menyaksikan mereka terlebih dahulu akan berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Kelana Jaya pada 26 Oktober nanti.

Aksi kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri  dijadualkan pada 31 Oktober.