Persatuan Bola Sepak Taiwan (CTFA) dilaporkan telah menghantar surat jemputan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa pada bulan September nanti.

Pasukan di ranking FIFA 156 dunia itu mahu menguji kekuatan Harimau Malaya yang bakal beraksi di Piala Asia tahun depan.

Kali terakhir Malaysia bertemu Taiwan ialah pada 7 September 2018 dimana skuad Harimau Malaya yang ketika itu dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe tewas 0-2 dalam perlawanan persahabatan di Taipei.

Ini pasukan kedua yang menyatakan minat untuk berentap dengan Malaysia selain Iraq beberapa minggu lepas.

Iraq mahu bertemu Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi dua pasukan dari Asia Tenggara (ASEAN) di Piala Asia nanti.

Selain Malaysia, Iraq juga berminat untuk menguji kekuatan Thailand yang merupakan juara Piala AFF tahun lepas.

Iraq merupakan bekas juara Piala Asia pada tahun 2007. Kali terakhir Malaysia bertemu Iraq adalah pada tahun 2006 dengan kekalahan 0-4.

Bagi skuad Harimau Malaya, ini merupakan kesempatan terbaik ketua jurulatih, Kim Pan Gon untuk mengetahui sejauh mana kekuatan anak buahnya apabila turut akan berdepan dua pasukan teluk arab di Piala Asia nanti.

Malaysia diundi dalam kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Bagaimanapun, setakat ini FAM belum mengumumkan perancangan mereka untuk bulan September dan ia bergantung pada penilaian Kim Pan Gon memilih lawan yang terbaik sebagai persiapan ke Piala Asia 2023.

Piala Asia 2023 akan bermula pada 12 Januari hingga 10 Februari 2024 di Qatar yang melibatkan lapan stadium terpilih dengan enam daripadanya pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Antara stadium yang dipilih ialah Stadium Al Janoub, Stadium Al Bayt, Stadium Ahmed Ali, Stadium Al Thumama, Stadium Kota Pendidikan dan Stadium Antarabangsa Khalifa manakala turut melibatkan Stadium Jassim Hamad dan Stadium Abdullah Khalifa.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah Piala Asia ialah tempat ketiga Kumpulan B di Kuwait pada 1980 dan kali terakhir skuad negara beraksi di Piala Asia ialah pada tahun 2007 dimana ketika bergelar tuan rumah.