Selepas berpisah dengan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada penghujung musim 2018, pemain tengah berpengalaman, Safiq Rahim kembali ke pangkuan juara Liga Super tujuh musim berturut-turut itu bagi menghadapi saingan 2021.

Sebaik sahaja meninggalkan JDT, beliau yang juga merupakan bekas kapten skuad kebangsaan memilih untuk menyertai Melaka United selama dua musim.

Perkembangan terbaharu disahkan oleh laman Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers (JST) itu sekali gus telah menjawab spekulasi yang sebelum ini bertiup kencang berhubung kepulangan semula bekas kapten tersebut.

Sepanjang enam musim menyarung jersi kelab gergasi tanah air itu sejak tahun 2013, Safiq mengetuai cabaran JDT dalam menjulang Piala AFC 2015, Liga Super 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018, Piala FA 2016 serta Piala Malaysia 2017.

Sehubungan dengan itu, tidak keterlaluan juga untuk mengatakan bahawa Safiq tergolong dalam lipatan sejarah kegemilangan JDT dalam menjadi kuasa besar bola sepak tanah air.

Pengalaman luas dimiliki pemain berusia 34 tahun itu pastinya ditagih untuk mengalirkan pengaruh positif buat barisan pemain muda skuad Harimau Selatan yang pada ketika ini kelihatan semakin mendapat tempat di hati pengendali pasukan, Benjamin Mora.

Komen ringkas daripada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) di laman Instagram JST juga sudah cukup untuk melihat signifikan kehadiran semula Safiq Rahim yang berbunyi: ‘Welcome Home SR8. 8 for mission 8’.

Sekiranya tidak di skuad utama yang dilihat sudah dibarisi pemain-pemain tengah berkualiti, khidmat dan pengalaman Safiq masih boleh ditagih pasukan JDT II yang mana sebahagian besar tenaga tempatan dibarisi pemain muda.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

MFL: Ingres Technologies Akan Lancarkan Aplikasi Bola Sepak ‘Shoot!’ Dengan Kontrak 5 Tahun

Diogo Luis Santo Jaringkan Gol Pertama Bersama BG Pathum United

Shahrul Saad: Daripada Produk Berkualiti SMK Anderson Ke Benteng Harapan Negara