Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan
pasukan Melaka United telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta merta bagi saingan CIMB Liga Super 2020 susulan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara ‘teleconferencing’ bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

Malah, pihak pengurusan Melaka United turut mengakui kegagalan melunaskan baki yang masih tertunggak itu tidak boleh dikaitkan alasannya dengan isu pertukaran kerajaan di negeri berkenaan atau pun Perintah Kawalan Pergerakan kerana COVID-19 ketika ini kerana tarikh akhir pembayaran baki yang masih tertunggak itu adalah sebelum terjadinya kedua-dua perkara berkenaan.

Justeru itu, badan pengendali Liga Super iaitu Malaysian Football League (MFL) telah melaksanakan pemotongan tiga mata menjadikan Melaka United kini berada di kedudukan kedua tercorot didepan PDRM selepas mengharungi 4 perlawanan.

ETjtQ5DUEAAOlKG
GRAFIK MFL

Selain Melaka United,  pasukan PDRM turut dipotong tiga mata sebelum ini akibat kegagalan menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Pemotongan mata itu sekaligus melonjakkan kedudukan Pahang di tangga ketiga dengan 6 mata selepas mencatat 2 kemenangan menentang Sabah (2-0) dan Melaka United (1-0). Bagaimanapun, kedudukan Perak di tangga kedua tidak berubah.

Manakala juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal di kedudukan teratas dengan 10 mata selepas mencatat 3 kemenangan dan satu keputusan seri ke atas FELDA United pada aksi tanpa penonton di Stadium Sultan Ibrahim hari sabtu lepas.

Melaka United dan PDRM juga berisiko diturunkan ke Liga Premier musim 2021 jika gagal mencatat sebarang kemenangan dalam perlawanan yang akan datang.

Baca artikel mengenai isu tunggakan gaji pemain dalam saingan Liga Malaysia 2020.

Isu Hutang: Melaka Dan Kelantan Berjaya Lepas, PDRM Dipotong 3 Mata Liga Super Musim 2020

Kelantan Diarah Bayar Tunggakan Gaji Berjumlah RM178,470 Kepada Bekas Pemain Dan Pegawai

Tunggakan Gaji: Patrick Cruz Ugut Heret Pahang FA Ke FIFA