Skuad kebangsaan B-17 Tahun Indonesia resmi dibubarkan setelah mereka tewas kepada Malaysia sekaligus gagal untuk melayakkan diri ke temasya Piala Asia B-17 Tahun yang dijadualkan berlangsung pada tahun hadapan.

Indonesia dibelasah Malaysia dengan keputusan 5-1 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan sekaligus menyaksikan skuad kendalian Osmera Omaro layak ke temasya tahun hadapan manakala pasukan bimbingan Bima Sakti gagal untuk melayakkan diri.

Selepas tewas kepada Harimau Malaya, skuad Garuda Muda tidak berada dalam senarai enam pasukan naib juara kumpulan terbaik yang akan turut mengiringi juara kumpulan ke saingan sebenar pada Mei 2023.

Oleh kerana kumpulan B mempunyai lima pasukan, mata pada pertemuan menentang pasukan ditempat keempat dan kelima iaitu Palestine dan Guam tidak dikira bagi mencari naib juara terbaik.

Sehubungan dengan itu, Indonesia sekadar mengumpul tiga mata selepas menundukkan Emiriah Arab Bersatu 3-2 dan tewas ketika menentang Malaysia untuk berada di kedudukan ketujuh.

Ketua jurulatih, Bima Sakti diberi tugasan baharu iaitu beliau akan mengendalikan pasukan yang akan beraksi dalam temasya Asian Youth Games 2022 yang mana barisan pemain terdiri daripada pelajar yang dikumpulkan oleh Kementrian Belia dan Sukan (Kemenpora) negara itu.

Pada masa yang sama, Bima turut meminta maaf kepada semua pihak khususnya kepada peminat bola sepak negara itu ekoran kekalahan besar yang dialami ketika menentang pasukan negara.

“Di sini saya mahu memohon maaf kepada seluruh pecinta bola sepak negara ini ekoran hasil yang tidak memuaskan. Kita semua sedih dan kecewa dengan keputusan ini.

“Saya beritahu kepada pemain supaya mereka mengambil pengajaran dan pengalaman dalam kempen kelayakan kali ini. Karier mereka masih panjang kerana masih muda. Saya akan mengambil tanggungjawab kerana saya adalah ketua jurulatih pasukan ini,” kata Bima.